Jenayah

Pendakwaan suspek kes Adib patut jenayah membunuh, bukan merusuh

PENDAKWAAN terhadap 12 orang suspek kes melibatkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim sewajarnya di bawah jenayah membunuh sebagaimana yang diperuntukkan dalam Bab 16 Kanun Keseksaan.

Bekas menteri dalam negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan kerajaan untuk menuduh kesemua suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner Shah Alam.

Menurut Ahmad Zahid, tuduhan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan tidak setimpal dengan kematian Muhammad Adib sebagai penjawat awam yang sedang melakukan tugas.

“Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27.9.2019 yang memutuskan bahawa punca kematian arwah Adib adalah disebabkan dari perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali

“Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda atau keduanya sekali. Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang penjawat awam yang telah dibunuh,” tegas Ahmad Zahid.

Sementara itu menurut Ahmad Zahid, cadangan untuk mengadakan semula inquest kematian Adib hanya membuang masa dan melengahkan lagi keadilan terhadap arwah dan ahli keluarganya.

“Apatah lagi kesalahan yang telah dilakukan adalah suatu jenayah yang amat serius terhadap seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

“Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan golongan beriman dan beramal soleh. Aamiin,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa
kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

“Ini akan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 339(2) Kanun Tatacara Jenayah. Siri tindakan ini susulan keputusan yang dicapai Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu.

“Mahkamah memutuskan punca kematian Adib bukan disebabkan kemalangan, tetapi perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih suspek.

“Berdasarkan keputusan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan selari arahan Jabatan Peguam Negara dan kumpulkan bukti yang ada untuk kemukakan semula kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.-SM

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button