Jenayah

Dua lelaki ditahan, 101,380 rokok pelbagai jenama dirampas

DUA lelaki ditahan bersama 101,380 batang rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus cukai kastam yang disembunyikan dalam enam buah van di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Kumbar, Alor Setar, Selasa.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu ACP Rosman Ismail berkata, penahanan dan rampasan dilakukan sepasukan anggota Unit Risikan Marin PPM Kuala Kedah, pada pukul 7.30 malam.

Terdahulu, katanya, pemeriksaan awal ke atas sebuah daripada enam van terbabit menemukan sejumlah karton rokok yang disembunyikan.

“Anggota pasukan kemudian telah menahan dua lelaki berusia 45 dan 54 tahun yang dipercayai terlibat untuk menjaga van tersebut.

“Pasukan operasi meneruskan pemeriksaan terhadap kesemua enam buah van dan menemukan 101,380 batang rokok pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosman berkata, pemeriksaan terperinci yang dijalankan mendapati, semua rokok terbabit disyaki tiada cukai kastam dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk enam buah van berserta nilai cukai rokok dianggarkan sebanyak RM453,580. Dua lelaki bersama barang rampasan telah diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya.  – SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button