Ekonomi

Penjana Komuniti@SME Bank diteruskan untuk bantu usahawan B40

SME Bank memperuntukkan RM1.7 juta untuk meneruskan program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 melibatkan 249 orang usahawan B40 untuk memulih dan memperkukuhkan perniagaan yang sedang mereka usahakan.

Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Haji Omar, semasa majlis perasmiannya berkata, “Pelaksanaan program Penjana Komuniti@SME Bank ini bukan sekadar dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan ekonomi rakyat, malah selari dengan hasrat dan strategi KUSKOP di bawah Pelan Strategik KUSKOP 2022 untuk memastikan lebih 1.1 juta Keluarga Usahawan ini kembali mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi daripada pra-pandemik.”

Beliau menambah, “Melihat kepada keberkesanan program ini, KUSKOP juga telah memberikan dana bernilai RM3.0 juta pada tahun lepas untuk SME Bank menjalankan Program Penjana Komunti@SME Bank siri yang kedua. Daripada 220 orang usahawan B40 yang telah mendapat manfaat daripada siri kedua ini, 137 orang peserta telah berjaya merekodkan pendapatan perniagaan keseluruhan sebanyak RM4.03 juta, lebihan 73.52% daripada sasaran awal. Kesemua peserta juga telah mempunyai laman web perniagaan sendiri dan 178 daripada mereka telah mengadaptasikan sistem perakaunan digital di dalam mengurus perniagaan.”

 

Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Selain peruntukkan yang disediakan, untuk pertama kalinya dan seiring dengan inisiatif di bawah Rangka Kerja Pengukuran Prestasi oleh Bank Negara Malaysia, SME Bank membuka peluang untuk pihak luar menyumbang dana melalui ‘crowd-in fund’ atau dana swasta untuk turut terlibat supaya lebih ramai peserta dapat menyertai program ini.”

Tambah Aria, “Setakat hari ini, SME Bank telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM400,406.00 dari 35 buah syarikat serta sumbangan kakitangan SME Bank sendiri. Dengan sumbangan ini, SME Bank berjaya menambah 49 orang peserta lagi menjadikan jumlah keseluruhan peserta program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 menjadi 249 orang berbanding sasaran awal iaitu 200 orang peserta.”

SME Bank telah melantik Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn. Bhd. (CEDAR) iaitu anak syarikat milik penuh SME Bank sebagai penyedia latihan dan program ini akan berjalan selama tiga bulan dari sekarang hingga Disember 2022. Modul latihan yang diikuti memberi fokus ke arah perniagaan digital melalui latihan pemasaran digital, sistem asas perakaunan, gerbang pembayaran (Payment Gateway) serta pengurusan perniagaan dan kewangan yang betul.

Empat sasaran utama telah ditetapkan untuk memberi impak jangka masa panjang. Ini termasuk keperluan mendaftarkan perniagaan mereka, adaptasi kaedah pemasaran dan sistem perakaunan digital serta penggunaan gerbang bayaran untuk memajukan perniagaan mereka.

Penganjuran program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 ini seiring dengan transformasi SME Bank ke arah penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaannya.  Ia juga menyokong Fasa Kedua Pelan Hala Tuju Kemampanan Tiga Tahun SME Bank (2021-2023) iaitu Pelaksanaan ESG dan Memperkemaskan Fokus

Bukan Perniagaan. Kesimpulannya, langkah SME Bank dalam mengamalkan ESG secara langsung menyokong agenda kemampanan Malaysia dan juga Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Majlis pelancaran Program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 ini telah disempurnakan oleh Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Tan Sri Noh Haji Omar dan Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Suriani Dato’ Ahmad. – SM

Artikel berkaitan > Semakan OPR untuk mengekang tekanan inflasi – SME Bank

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button