Ekonomi

RMK-12: Bantuan tunai bersasar, perlindungan sosial akan diteruskan

KERAJAAN akan meneruskan pemberian bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial kepada mereka yang layak dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar dengan kos sebanyak RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

“Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

“Pandemik COVID-19 yang melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan,” katanya ketika membenyangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat.


Ia merupakan sebahagianFokus Keempat RMK-12: Memantapkan Keselamatan Dan Ketenteraman Awam.

Ismail Sabri berkata, unit khusus peringkat Persekutuan dan pejabat daerah akan ditubuhkan bagi membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu, melalui pendekatan keseluruhan negara.

“Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan CSO.

“Dengan adanya pegawai yang diberi tugas khusus, untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, saya yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi pada tahun 2025,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberi keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa.

Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40, program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan.-SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button