Nasional

Kehalusan pekerti ciri utama Melayu perlu dipertahan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa Adat Istiadat Melayu yang kita warisi turun temurun mempunyai ketinggian hikmah, bijaksana dan santun budi. Kehalusan tutur bicara dan kesopanan lagak laku merupakan antara ciri utama adat Melayu. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan kehalusan pekerti merupakan keutamaan dalam mempertahankan ciri sebagai seorang Melayu.

Keutamaan elemen pekerti ini turut terzahir pada amalan kebiasaan masyarakat Melayu. Sebagai contoh, pantang larang Melayu yang diwarisi secara lisan daripada generasi terdahulu turut menekankan aspek ini. Umpamanya pantang larang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat, mempunyai nilai didikan adab yang ’halus’ supaya menjaga pertuturan agar tidak melukakan hati dan perasaan orang lain.

Demikian titah pembukaan baginda menurut hebahan media yang disiarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Sidang Yang Ketiga Bagi Tahun 2021 yang diadakan secara maya semalam.

Antara yang hadir ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dan mantan Datuk Bentara Istana Negara Datuk Mohiyaddin Che Jan.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, kesantunan berbahasa dalam komunikasi perlu sentiasa dipupuk dari masa ke semasa agar dapat terus melahirkan masyarakat atau modal insan berkaliber dan berkualiti, selari dengan cabaran globalisasi demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Pelestarian bahasa Melayu dari sudut taraf dan fungsinya serta penggunaanya penting bagi menyuburkan amalan komunikasi yang baik dan berkesan, sekaligus mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tonggak tamadun bangsa’.

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button