Politik

Dong Zong gesa KM Sabah lantik menteri Cina

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Sabah (Dong Zong Sabah) menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah melantik menteri berketurunan Cina dalam Kabinet negeri baru dibentuk.

Pengerusinya, Datuk Jimmy Yong Kyok Ming berkata, masyarakat Cina tidak akan mempunyai saluran untuk menyampaikan isu-isu yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Cina dan masyarakat itu kepada kerajaan negeri sekiranya Kabinet negeri tidak mempunyai wakil dari kaum Cina.

Walaupun tidak ada calon berketurunan Cina yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, Yong menegaskan ketua menteri mempunyai hak untuk melantik enam ADUN yang dicalonkan.

“Kami berharap ketua menteri dapat melantik satu hingga dua wakil Cina ke dalam Kabinet negeri,” katanya.

Memetik laporan Borneo Post, Yong berharap agar kerajaan negeri yang baru bersikap adil terhadap rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan kepercayaan dalam pendidikan, budaya dan ekonomi.

“Sekiranya tidak ada perwakilan Cina di Kabinet Negeri, kami berharap agar pemerintah megeri memperlakukan semua kaum dengan adil.”

Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi kerjasama PN, BN dan PBS tidak memiliki ADUN mewakili masyarakat Cina selepas semua calon berketurunan Cina kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pada PRN itu, GRS meletakkan calon BN daripada MCA, calon PN daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan calon Cina daripada PBS di kerusi majoriti Cina, namun semuanya kalah di tangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan rakan sekutunya termasuk.

Antara kerusi majoriti Cina itu ialah Api-Api yang ditandingi calon PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai; calon MCA, Lu Yen Tung (Kapayan) dan Dr Chang Kee Ying (Likas) selain calon SAPP di Luyang dan Tanjung Papat.

Semua kerusi majoriti Cina disapu bersih WARISAN Plus, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).-SM

(Visited 448 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button