Nasional

Ustaz menang bida kereta MB Kedah RM150,000

Kereta Volvo XC60 3.0 T6 telah menjadi milik Ust Mohammad Yaakob Yusra Mohd Yusof, kata Menteri Besar Kedah, Sanusi Md. Nor.
“Wang bidaan RM150,000.00 menjadi milik rakyat Palestin.
Bayaran telah dibuat kepada Tabung Kemanusiaan PASRelief #Aid4Palestine melalui pindahan atas talian. Alhamdulillah,” kata beliau dalam hantaran ke Facebook.

Ketika bercakap kepada pemberita, beliau berkata, bidaan itu ditutup pada pukul 10 pagi ini selepas dibuka menerusi Facebook beliau sejak Sabtu lalu.

“Saingan sangat sengit termasuk daripada orang bukan Islam, terdapat kira-kira 20 orang yang membuat bidaan. Namun pada jam-jam terakhir ada dua ahli perniagaan membuat bidaan.

“Akhirnya pada 9.59 pagi, Pengarah Urusan Murtadha Dakwah, Mohammad Yaakub Yusra menghantar bidaan tertinggi sebanyak RM150,000 iaitu hampir tiga kali ganda harga asal yang saya tawarkan untuk dibida iaitu RM55,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir bagi penyerahan sumbangan untuk Tabung Bantuan Palestin Badan Perhubungan Pas Kedah di Kompleks Pas Batu 9 di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya.

Pada majlis tersebut Pas Kedah mengumpul sebanyak RM1.57 juta untuk disumbangkan kepada Tabung Palestin.

Kata Muhammad Sanusi, beliau bersyukur kereta itu dapat dijual pada harga yang tinggi untuk membantu saudara Islam di Palestin.

“Wang jualan kereta sebanyak RM80,000 sudah dipindahkan ke tabung Palestin Pas Relief hari ini manakala baki RM70,000 dipindahkan esok,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Yaakub Yusra, 30, berkata, beliau sanggup membida harga tinggi bagi mendapatkan kereta itu untuk sama-sama menyumbang kepada penduduk Palestin.

Katanya, wang yang digunakan untuk bidaan itu adalah wang peribadinya dan kereta itu diwakafkan untuk kegunaan tenaga pengajar di sekolah agama persendirian miliknya.

“Saya sanggup bida dengan harga yang tinggi sebab saya rasa kita yang memerlukan Palestin untuk saham akhirat kita,” katanya.

(Visited 681 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button