Ekonomi

MISC catat kerugian bersih RM1.15 bilion pada suku pertama 2020

MISC Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.15 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020, daripada keuntungan bersih sebanyak RM510.50 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada 2019.

Perolehan, bagaimanapun, meningkat sebanyak 10.4 peratus kepada RM2.51 bilion berbanding RM2.27 bilion, berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada semua segmen kecuali segmen luar pesisir.

“Segmen kejuruteraan berat mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak RM143.7 juta susulan sumbangan lebih tinggi daripada projek yang sedang dijalankan dan peningkatan kerja-kerja penukaran, manakala pendapatan lebih tinggi disebabkan aktiviti limbungan kering yang rendah pada suku tahun semasa menyumbang kepada perolehan gas asli cecair meningkat sebanyak RM70.5 juta dan kadar kargo yang lebih baik dalam segmen petroleum telah menjana peningkatan perolehan sebanyak RM54.3 juta,” menurut syarikat perkapalan itu dalam kenyataan.

Katanya pasaran kapal tangki petroleum telah menjadi antara beberapa segmen industri minyak yang mendapat momentum positif pada suku pertama 2020.

MISC berkata perang harga yang tidak dijangka antara pengeluar minyak Rusia dan Arab Saudi telah mewujudkan lonjakan dalam kadar semerta kapal tangki berikutan permintaan terhadap penghantaran melonjak disebabkan kebanjiran minyak berharga rendah dalam pasaran.

Segmen itu kemudiannya disokong oleh permintaan yang tinggi terhadap kapal tangki untuk digunakan sebagai penyimpanan terapung dalam persekitaran permintaan terhadap minyak global yang merosot berikutan pandemik COVID-19.

“Walaupun pasaran kapal tangki kekal kukuh buat masa ini, persetujuan gabungan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluaran bagi menyokong harga minyak akan menyebabkan permintaan berkurangan terhadap kapal tangki.

“Oleh itu, prospek bagi separuh kedua tahun ini amat tidak menentu, bergantung kepada tempoh dan magnitud impak pandemik kepada permintaan terhadap minyak dan paras bekalan minyak oleh pengeluar OPEC+ dan bukan OPEC+,” katanya.

MISC berkata prestasi kewangan segmen perkapalan LNG terus disokong oleh pendapatan berulang daripada portfolio kontrak jangka panjang manakala kontrak jangka panjang sedia ada bagi segmen perniagaan luar pesisir akan terus menyokong prestasi kewangannya yang stabil.

“Dengan pandemik COVID-19 pada masa ini dan persekitaran harga minyak yang tertekan, segmen kejuruteraan berat menjangka risiko penangguhan dan pengurangan projek huluan akan berpanjangan dan terus memberi cabaran kepada industri bagi baki tahun ini,” katanya. – BERNAMA

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button