Ekonomi

ECERDC tingkat usaha tarik lebih banyak pelaburan ke Terengganu

MAJLIS Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak  pelaburan ke Terengganu dengan tumpuan diberikan kepada Taman Biopolimer Kerteh (KBP), salah sebuah taman perindustrian paling berjaya yang dibangunkan oleh ECERDC.

KBP, hab bioekonomi dan bahan kimia khusus ECER yang meliputi kawasan seluas 140 hektar, telah menarik  Pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM5.2 bilion setakat ini dengan kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 telah  diduduki sepenuhnya, manakala Fasa 3 telah dibina dan siap tahun lepas.

Kompleks PKS KBP juga menerima sambutan yang menggalakkan walaupun siap ketika pandemik. Sebanyak 98%  daripada lot yang ada telah diduduki majoritinya oleh syarikat-syarikat Industri Perkhidmatan dan Peralatan  Minyak dan Gas (OGSE) yang memberi sokongan kepada PETRONAS dan syarikat-syarikat petrokimia lain di Wilayah ini.

ECERDC turut menyasarkan pertumbuhan dalam industri petrokimia khusus, dan kini sedang membangunkan Fasa 4 yang terdiri daripada kawasan tambahan seluas 397 ekar bagi menampung pertumbuhan akan datang untuk para pelabur menjelang pertengahan tahun 2025.

Menteri Besar Terengganu Datuk’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu hari ini, memuji usaha ECERDC dalam menarik pelaburan ke Terengganu.

Beliau berkata, kejayaan KBP membuktikan bahawa strategi ekonomi yang sesuai dan pembangunan infrastruktur  pengupaya telah menjadikan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik.

“ECERDC akan memperhebatkan kegiatan mempromosikan pelaburan ke Terengganu dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan Negeri untuk menarik pelaburan baharu serta memastikan pelaburan dapat direalisasikan terutamanya di KBP.

“Baru-baru ini, KBP telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM220 juta daripada Greenverse Sdn. Bhd. (GVSB) untuk membangunkan sebuah loji pengurusan sisa berjadual secara bersepadu.

“Pelaburan ini dijangka mewujudkan sehingga 250 peluang pekerjaan baharu yang merangkumi jawatan profesional, pengurusan dan kemahiran teknikal,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi
Che Mat.

Sehingga 15 November 2021, Terengganu telah menarik pelaburan komited sebanyak RM2.9 bilion menerusi ECERDC bagi tahun 2021. Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dan 600 peluang  keusahawanan.

Dalam menyokong pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), ECERDC  juga telah membantu menyediakan latihan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula di bawah program PENJANA-ECERDC bagi meningkatkan kebolehpasaran khususnya untuk mereka yang menganggur disebabkan pandemik.

Program ini juga menjadi daya tarikan kepada para pelabur di ECER di mana PENJANA akan menyediakan subsidi  untuk menampung sebahagian daripada kos latihan di tempat kerja.

Pada masa yang sama, berikutan kejayaan program rintis Aplikasi Web ACES I4.0, Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) yang ditubuhkan oleh ECERDC kini memainkan peranan untuk melatih para peserta menerusi program ACES-ECER Jobs Train & Place.

Program ini adalah salah satu program PENJANA yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran dan pemahiran semula graduan yang menganggur dan lepasan SPM yang berminat memulakan kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Program ini menyasarkan untuk memberi manfaat kepada 800 orang peserta dari wilayah ECER dengan sasaran kadar penempatan pekerjaan sebanyak 80%.

Sehingga kini, seramai 84 orang peserta dari Terengganu telah dilatih dan kesemua peserta berjaya mendapat pekerjaan dalam industri ICT.

Di Terengganu, seramai 1,200 orang lepasan SPM dari enam buah daerah, iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Besut dan Setiu, telah menyertai Program Akademik empower ECER.

“Bagi ECERDC, program Latihan Akademik empower ECER bukan sahaja mementingkan tentang pencapaian SPM tetapi juga menitikberatkan usaha bagi memastikan setiap peserta meneruskan perjalanan pendidikan mereka ke institusi pengajian tinggi dan teknikal.

“Sehingga kini, 98% atau seramai 1,174 orang peserta program telah mendapat tempat untuk meneruskan pelajaran. Ini adalah selaras dengan matlamat ECERDC untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir di ECER,” kata Baidzawi.

Disamping itu, ECERDC juga menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan memastikan semua peserta program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER menerima vaksin sebelum memulakan program.

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button