Ekonomi

Untung bersih Affin Bank susut 56.8 peratus kepada RM67.40 juta pada suku kedua

KEUNTUNGAN bersih Affin Bank Bhd merosot 56.8 peratus kepada RM67.40 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 daripada RM156.03 juta dalam tempoh sama tahun lepas, dengan perolehan naik 3.02 peratus kepada RM512.96 juta daripada RM497.93 juta.

Bagi separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih bank itu merosot kepada RM190.97 juta daripada RM293.26 juta pada separuh pertama 2019 manakala perolehan naik kepada RM1.14 bilion daripada RM970.44 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata prestasi lemah itu berikutan kerugian susut nilai kredit yang tinggi sebanyak RM170.9 juta berikutan COVID-19, perbelanjaan overhed yang tinggi sebanyak RM99.7 juta dan pengiktirafan kerugian pengubahsuaian sebanyak RM79.7 juta.

“Kerugian pengubahsuaian berlaku berikutan pengecualian caj faedah semasa moratorium pinjaman dan pembiayaan selama enam bulan untuk sewa beli dan pembiayaan peribadi,” katanya.

Katanya perbelanjaan operasi kumpulan naik sebanyak RM99.7 juta atau 16.2 peratus, didorong oleh kenaikan kos kakitangan yang berkaitan dengan prestasi perdagangan.

Mengenai pendapatan faedah bersih, Affin Bank berkata ia berkurangan sebanyak RM44.7 juta atau 11.9 peratus sejajar dengan pengurangan pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM2.6 bilion dan pelaburan kewangan pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain (FVOCI) sebanyak RM2.0 bilion, serta pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam tempoh tersebut.

Pada separuh pertama 2020, jumlah pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan kumpulan itu susut dua peratus kepada RM45.0 bilion, sebahagian besarnya berikutan mengimbangi semula portfolio. – BERNAMA

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button