Nasional

Pengkisahan Natrah hidupkan semangat Melayu angkat martabat Islam

USAHA HIMPUNAN Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Perlis (HIMPUNAN) memperdengarkan semula pengkisahan kisah Natrah adalah tepat pada masanya ekoran negara digegarkan semula dengan isu tiga beradik mualaf.

Natrah yang dibela oleh sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda yang telah menggemparkan Tanah Melayu.

Penulis buku Natrah, Puan Sri Fatini Yaakob

Sehingga kini peristiwa kes murtad itu terus diperkatakan.

Apa yang jelas, kisah Natrah perlu diperingatkan semula seiiring dengan sokongan penuh HIMPUNAN berhubung dengan kemelut yang membelenggu tiga kanak-kanak mualaf ini.

Pengerusi HIMPUNAN yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PMPs) Cawangan Perlis, Azemi Salim sebelum ini telah menyerahkan memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.


Pengkisahan Kes Natrah dan hak penjagaan tiga anak mualaf Perlis dibicarakan oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang juga Ketua Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Puan Sri Fatini Yaakob, juga penulis buku “Natrah“.

Pengkisahan anjuran HIMPUNAN dan MAIPs selaku penaung ini diadakan Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar.

Daripada pengkisahan ini, Fatini menceritakan, jelasnya kes Natrah ini sebenarnya telah membakar semangat orang Melayu untuk bersama-sama bangkit demi mempertahankan maruah bangsa dan agama Islam.

“Bayangkan kuatnya semangat orang Melayu pada masa itu dalam jumlah ratusan ribu yang berkumpul di mahkamah hanya untuk mendengar keputusan kes
Natrah,” katanya.

Katanya, ia sesuatu yang mengejutkan kerana orang Melayu yang sebelum itu leka mengagungkan Inggeris sedangkan agama mereka diperlekeh oleh bangsa ini.

“Inggeris juga yang selama ini menyifatkan bangsa Melayu sebagai bodoh, pemalas dan lemah juga terkejut dengan kebangkitan ini,” katanya.

Beliau berkata, dasarnya mungkin nampak kita kalah dari perundangan tetapi hakikatnya ia membawa kepada penyatuan Melayu sehingga berjaya mencapai kemerdekaan.

Sementara itu Azmie dalam rumusannya sebagai moderator berkata, kisah Natrah ini perlu menjadi peringatan dan panduan untuk orang Melayu.

Katanya, kini muncul semula kemelut tiga adik beradik mualaf supaya orang Melayu sedar sekali Islam berdepan dengan cabaran yang sama.

Di akhir majlis, sebanyak 31 NGO Islam yang bersatu bawah HIMPUNAN menerima cedermata yang disampaikan oleh Mohd Nazim Mohd Noor. Hadir sama Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan. – SM

(Visited 322 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button