fbpx
Nasional

Covid-19: Pemilik kedai makan cetus Kluster Sivagangga

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia telah mengenalpasti dua lagi kluster baharu iaitu Kluster PUI Sivagangga di Kedah dan Kluster Satok, Sarawak.

Kes indeks Kluster Sivagangga merupakan seorang pemastautin tetap dan memiliki kedai makan. Beliau telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 13 Julai 2020 (iaitu kes ke-8937).

Ketika saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa KLIA beliau didapati negatif. Individu terbabit telah diminta untuk  menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) namun tidak mematuhi syarat perintah tersebut.

Selepas saringan ulangan dia didapati positif dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 28 Julai lalu 28 kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah tersebut lima dikesan positif Covid-19 dan 23 negatif.


“Kes indeks dalam tindakan pihak berkuasa. Empat orang daripada kes positif dalam kluster ini adalah pekerja  kedai tersebut yang merupakan bukan warganegara manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks.

“Kesemua kes positif ini berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks. Premis yang dikenalpasti ini telah ditutup bagi proses pembersihan dan nyah kuman,” kata KKM.

Manakala Kluster Satok telah dikesan di sebuah pasar di Satok, Kuching. Saringan Covid-19 telah dijalankan di pasar tersebut dan sehingga 28 Julai sebanyak 229 orang peniaga telah disaring.

Daripada jumlah tersebut empat dikesan positif Covid-19 dan 225 negatif.

“Kesemua kes positif adalah tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan dan nyah kuman bagi premis dan kemudahan yang berkaitan,” kata KKM.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button