fbpx
NasionalRencana

Wujudkan pasar basah sementara pandu lalu

Oleh Mohd Fareez Aznul Adnan

PERGERAKAN masyarakat pada tempoh PKP ini adalah minimum kerana kita masih perlu keluar untuk mendapatkan bekalan keperluan, khususnya makanan. Berikutan pewartaan beberapa pasar basah, ia telah menyebabkan kesesakan.

Secara tidak langsung, ini meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pengunjung. Maka, disamping PKP, saya mencadangkan pihak berkuasa kerajaan tempatan membuka beberapa pasar atau tamu basah ad hoc atau sementara di lokasi-lokasi yang sesuai di daerah masing-masing.

Melalui pasar basah tambahan ini, masyarakat setempat akan dapat meminimumkan jarak dan pergerakan mereka.

Pasar-pasar sementara ini boleh dibuka di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang tinggi dan agak jauh dengan pasar utama daerah masing-masing.


Ia juga membuka peluang kepada pengusaha atau penjual barang keperluan yang lain kerana seperti yang semua maklum, pada tempoh PKP ini, hanya pasar yang diwartakan sahaja dibenarkan untuk beroperasi.

Pasar-pasar sementara ini juga memberi ruang untuk memastikan kitaran ekonomi yang lebih baik. Lebih banyak penjaja barang keperluan berlesen yang tidak mempunyai lot jualan di pasar yang diwarta akan dapat meneruskan perniagaan mereka.

Pengeluaran barang makanan asas juga dapat dipastikan berterusan kerana adanya lebih banyak rangkaian penjualan. Ia seterusnya membantu memastikan para pengeluar untuk terus menghasilkan barang makanan sekaligus mengurangkan risiko kerugian dan krisis bekalan makanan.

Pasar tamu sementara ini bolehlah dibuka di lokasi yang sesuai dan terbuka seperti kawasan tempat meletak kenderaan yang besar.

Selain daripada melaksanakan had maksimum pembeli, kerajaan juga boleh melaksanakan pergerakan sehala sahaja seumpama pandu lalu. Selain mengelak pembeli bertembung, ia juga membantu mengekalkan penjarakkan sosial.

Timbul kebimbangan tentang kekurangan tenaga kerja pihak berkuasa tempatan jika cadangan ini dilaksanakan. Oleh itu, sebuah jawatankuasa boleh ditubuhkan untuk memantau perlaksanaan pasar sementara ini.

Badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan penjawat-penjawat awam dan swasta yang bukan daripada kategori “barisan hadapan” pada ketika ini boleh dimasukkan di dalam jawatankuasa berkenaan.

Namun tetapi haruslah diketuai oleh kakitangan daripada pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan. Cadangan ini masih boleh diperhalusi lagi sebelum dilaksanakan.

PENULIS adalah Pensyarah PTFT, FSPPP, UiTM Sabah

 

Show More

Related Articles

Back to top button