Hiburan

Pengarah, penolong dan pelakon ditahan reman dua hari berkaitan kes dadah

Pengarah filem, penolong dan seorang pelakon disahkan polis telah ditahan berkaitan dengan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsar, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pelakon tersebut berusia 24 tahun manakala pengarah dan penolongnya masing-masing berusia 49 dan 46 tahun.

“Kesemua mereka ditahan reman selama dua hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Menurut Mior Faridalathrash, serbuan dilakukan pihaknya kira-kira pukul 71.5 pagi semalam.

Jelasnya, kesemua suspek berada di dalam rumah berkenaan dan pihaknya menemukan dadah disyaki ganja dianggarkan seberat 1.45 gram selain syabu dianggarkan seberat 0.38 gram dengan nilai rampasan dadah RM270.


“Turut dirampas botol plastik yang diubah suai untuk kegunaan menghisap dadah. Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara dan denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah tetra hydrocannibol (TCH), methamphetamine dan amphetamine.

“Seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau masing-masing bersabit jenayah dan dadah,” katanya. -SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button