Nasional

MADA guna sistem telemetri pantau pengairan sawah

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mempunyai ‘Sistem Telemetri’ untuk memantau kedudukan hidrologi dan turunan hujan dalam Kawasan Muda bagi membantu dalam operasi pengairan dan saliran kawasan bendang di bawah seliaannya.

Dalam kes hujan lebat baru-baru ini,
melalui maklumat Jabatan Meteorologi dan juga Sistem Telemetrinya, pihak MADA telah mengambil tindakan awal untuk merendahkan paras terusan untuk menerima air berlebihan.

Pada masa yang sama, operasi pintu Tandop Kawalan Terusan Arau dan Kuala Sungai Baru untuk menyalirkan air lebihan dari Sungai Arau dan Terusan Utara dibuka.

Semua pintu struktur kawalan di Parit Sekunder turut dibuka untuk kelancaran saliran kawasan bendang. Pam-pam saliran juga turut dioperasikan bagi mempercepatkan lagi saliran dari Parit-parit Sekunder.

Demikian dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail oleh Pengurus Wilayah 1 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis, Zairizal Zainon mengenai status semasa pengurusan pertanian ekoran hujan lebat beberapa hari kebelakangan ini ketika baginda berkenan berangkat meninjau ‘Alator Arau’.

Turut menyampaikan taklimat ialah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Ir. Asnol Adzhan Abd. Manap yang berkongsi status semasa pengurusan banjir Negeri Perlis.

Difahamkan bahawa operasi Alator Arau pada waktu biasa adalah berdasarkan keperluan pengairan untuk kawasan bendang Wilayah 1 MADA Perlis.

Keberangkatan baginda yang diiringi sama oleh Mufti Negeri, Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan adalah bersempena program ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 65 bagi tahun 2020’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al Ikram, Kg Sena, Guar Sanji.

Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan sentiasa mahukan ‘Rakyat Perlis Hidup Bersiapsiaga Bagi Menghadapi Sebarang Cabaran’ turut berkenan singgah menyerahkan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid berkenaan sepanjang program berkenaan.

(Visited 485 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button