JenayahNasionalNegeri

Polis Johor rampas rokok seludup bernilai RM7.7 juta

POLIS Johor berjaya merampas 1,029 kotak dipercayai mengandungi rokok seludup bernilai kira-kira RM7.7 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah gudang di Kempas, tengah hari semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan ketika serbuan dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari di gudang yang terletak di Jalan Belati, Kawasan Perindustrian Maju Jaya itu melibatkan kira-kira 51,000 rokok pelbagai jenama termasuk Redwood, Bosston dan Paragon.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, tiada individu ditahan, katanya.

Sementara itu, dalam kes lain beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di sebuah stesen minyak di Jalan Harimau, Taman Abad semalam kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pembelian minyak diesel bersubsidi.

Kamarul berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori bersama muatan diesel bersubsidi dalam serbuan pada 2 pagi itu.

Kira-kira setengah jam kemudian, katanya, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Taman Ungku Tun Aminah, dan merampas wang tunai berjumlah RM17,722, dipercayai untuk membeli minyak diesel bersubsidi.

“Semakan mendapati dua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap atas kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi lain di Jalan Belati, Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas pada 11.20 pagi dan menahan tiga lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 34 tahun.

“Turut dirampas, 46,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM159,722, sebuah lori dan sekeping resit jual beli diesel,” katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – SM

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button