EkonomiNasional

Mesyuarat bersetuju untuk tubuhkan Pusat SDG – Perdana Menteri

 Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Pusat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara.

Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikat-syarikat swasta dipertingkatkan.

“SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020 dan kini sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 serta akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), 2025-2030.

“Pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat berkait memperkasa agenda pembangunan negara melalui penubuhan Pusat SDG Negara dan VNR.

Malaysia telah membentangkan VNR pada tahun 2017 dan 2021 di Forum Politik Peringkat Tinggi Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (High Level Political Forum on Sustainable Development – UN HLPF) bagi memenuhi obligasi negara di peringkat global.

VNR melaporkan secara inklusif kemajuan dan cabaran negara dalam pelaksanaan SDG di peringkat nasional.

“Mesyuarat turut mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa peringkat global dan tempatan serta kemerosotan dalam pencapaian beberapa SDG negara ekoran impak negatif pandemik COVID-19, cabaran perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa.

“Sehubungan itu, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Pusat SDG Negara di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara,” katanya.

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button