AgamaNasional

Penantian berakhir, jemaah syukur dapat kembali rapat saf

PENANTIAN telah berakhir. Begitulah antara kata-kata yang diluahkan oleh jemaah masjid yang kembali merapatkan saf solat berjemaah Jumaat selepas lebih dua tahun akur kepada prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal satu meter.

Pengerusi Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, Abd Malek Junin menyifatkan kebenaran merapatkan saf ketika solat berjemaah di masjid, lebih-lebih lagi untuk solat Jumaat hari ini sebagai satu nikmat.

“Memang satu penantian yang selama ini kita tunggu-tunggu, tertanya-tanya bilakah dapat rapatkan saf. Jadi hari ini rasa macam satu perasaan gembira yang tidak terhingga.

“Nikmatnya rasa dapat merapatkan saf selepas lebih dua tahun kita solat berjarak-jarak. Dalam agama dan tertulis dalam hadis, memang lebih afdal kita rapatkan saf ketika solat berjemaah,” katanya.

Seorang ahli jemaah, Azmi Zakaria meluahkan kesyukuran yang ditambah perasaan teruja dan terharu tatkala imam kembali meminta jemaah merapatkan saf, selepas hampir dua tahun SOP penjarakan fizikal dilaksanakan.

“Dua tahun tidak dengar, bila hari ini dengar imam minta rapatkan (saf), memang satu perasaan yang tidak dapat digambarkan, memang teruja dan terharu datang solat Jumaat hari ini,” luahnya.

Seorang lagi jemaah, Farhan Fernano berkata, meskipun bimbang, kebenaran merapatkan saf itu disifatkannya peluang untuk masyarakat lebih bersatu selain ibadah di masjid dapat diimarahkan.

“Rasa seronok itu ada, dalam masa sama, ada juga rasa bimbang bila kena duduk rapat. Tetapi yang penting, bila rapat ini, kita dapat rasa penyatuan. Tambah lagi dengan SOP baharu ini boleh ramaikan lagi jemaah masuk masjid.

“Jadi, rasa semakin teruja untuk solat Terawih nanti sempena Ramadan tak lama lagi,” katanya yang menunaikan solat Jumaat di masjid Jabatan Penjara Kajang.

Masjid dan surau dibenarkan mengadakan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan mulai hari ini, sejajar dengan keputusan negara memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19, bermula hari ini. – FMT- SM

 

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button