Mahkamah

Pemandu lori sebabkan kematian seorang kontraktor direman empat hari

Pemandu lori yang menyebabkan kematian seorang kontraktor serta mencederakan dua yang lain dalam kemalangan di Kilometer 179.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pagi semalam hari ini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Jasin, Tan Chai Wei terhadap suspek lelaki berusia 37 tahun itu.

Ini bagi membolehkan siasatan dilakukan polis mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian, yang mana sabit kesalahan suspek boleh dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000.

Suspek yang berpakaian lokap tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi semalam, seorang lelaki maut manakala anak bongsunya parah selepas dirempuh lori ketika sedang menukar tayar kereta di lorong kecemasan lebuh raya.


Mangsa Khaidzir Zainuddin, 59, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala anaknya Muhammad Ashraf, 22, patah tulang rusuk telah dihantar ke Hospital Tangkak, Johor.

Ketika kejadian, dua beranak itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pengerang, Johor atas urusan kerja sebelum tayar kereta Mercedes Benz yang dinaiki pancit.

Nahas berlaku ketika mereka sedang berkemas selepas selesai menukar tayar sebelum sebuah lori tunda yang berhenti di belakang kereta mereka dilanggar oleh sebuah lagi lori yang datang dari arah sama.

Rempuhan tersebut mengakibatkan lori tunda terbabit melanggar kedua-dua mangsa yang berada di but kereta menyebabkan mereka tercampak ke tepi lebuh raya. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button