Mahkamah

Bapa mengaku tidak bersalah rogol anak kandung selepas pantang bersalin

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kangar hari ini atas pertuduhan merogol anak bongsunya yang baharu habis berpantang, bulan lalu.

Tertuduh, 54, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai empat anak didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 21 tahun sebanyak dua kali di sebuah rumah di Kangar pada pukul 9 malam, 30 dan 31 Mei lalu.

Bapa mengaku tidak bersalah rogol anak bongsu baru habis berpantang

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dari 10 tahun dan maksimum 30 tahun, bersama sebatan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa cuba merogol mangsa yang sama di sebuah rumah di lokasi berbeza di Kangar pada pukul 9 malam, 1 Jun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B/511 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dari 10 tahun dan maksimum 30 tahun, bersama sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norharniza Rusli.

Mohd. Izham mencadangkan agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana berpotensi untuk mengganggu mangsa memandangkan tinggal serumah bersama mangsa dan saksi utama.

Selain itu, Mohd. Izham juga memberi alasan perbuatan tertuduh adalah tidak berperikemanusiaan kerana mangsa adalah anak bongsu yang baru selesai berpantang selepas melahirkan anak.

Bagaimanapun Norharniza meminta agar tertuduh dibenarkan ikat jamin berikutan kes berkenaan masih dikategorikan dalam senarai dibenarkan ikat jamin.

Norharniza juga memberitahu mahkamah, tertuduh akan tinggal di rumah ibu saudaranya di Kuala Ketil, Kedah sekiranya dibenar diikat jamin.

Ainul Shahrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin selain dikenakan syarat melapor diri setiap minggu di Balai Polis Kuala Ketil serta tidak dibenarkan mendekati mangsa dan ahli keluarga.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Julai depan untuk serahan laporan perubatan lengkap. – ASTRO AWANI

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button