Mahkamahpilihan

Ibu didenda RM12,000 cuba campak anak ke dalam longkang

Padah cuba membuang anak berusia setahun ke dalam longkang tahun lalu, seorang ibu anak enam didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh, Sharifah Noraini Mohd Zali, 33, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak perempuan telah menyebabkan anaknya mungkin mengalami kecederaan fizikal apabila cuba
mencampakkannya ke dalam longkang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, tertuduh didakwa telah mendedahkan anaknya kepada kecederaan dengan cara dia melompat dari motosikal ke atas jalan raya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan antara jam 8.40 malam hingga 9.40 malam di Jalan Pandan, Taman Pandan Maju dalam daerah Melaka Tengah pada 13 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebagai tambahan hukuman jika disabitkan hendaklah menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama dengan tempoh dan syarat yang difikirkan perlu oleh mahkamah.

Mengikut fakta kes pada hari kejadian makciknya menerima panggilan daripada sepupunya yang ternampak tertuduh cuba membuang anaknya ke dalam sungai di Jambatan Panglima Awang.

Tertuduh yang diwakili peguam, Goh Chin Han merayu hukuman rendah anak guamnya mengalami kemurungan kerana setelah tidak mendapat sebarang pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anak guamnya juga katanya telah insaf sejak ditangkap dan berada dalam penjara selama tujuh bulan dari tarikh ditangkap dan selepas keluar telah memulakan kehidupan baharu bekerja sebagai pembantu pasar dan sedia menerima hukuman syarat tambahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagaimanapun dalam hujahannya berkata, tertuduh tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan menjadikan kemurungan sebagai alasan kerana mempunyai pengalaman menjaga lima anaknya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mohd. Sabri menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau tiga tahun penjara jika gagal bayar.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan bon berkelakuan baik sebanyak RM5,000 tanpa cagaran selama dua tahun. – SM

(Visited 483 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button