Nasional

Loke digesa siasat keputusan pembatalan projek HSR KL-Singapura

MENTERI Pengangkutan Loke Siew Fook digesa siasat keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) KL-Singapura.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Aziz Kaprawi ketika HSR diumumkan berkata, banyak kajian menunjukkan projek itu akan memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi.

HSR dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit.

Sebelum wabak melanda, laluan udara antara dua bandar itu adalah yang tersibuk di dunia.

“Saya harap menteri baharu itu akan siasat apa terjadi (yang membawa kepada pembatalan projek HSR,” kata Aziz yang berkhidmat dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kepada FMT.

Projek HSR dibatalkan pada 1 Januari 2021 dengan Malaysia perlu membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya menurut perjanjian dua hala.

Dilaporkan kemudian bahawa Singapura tidak menerima cadangan Putrajaya untuk mengeluarkan pembekal sistem dan pengendali rangkaian HSR yang bertanggungjawab ke atas kedua-dua negara.

“Tiada ketelusan langsung (di pihak kerajaan PN). Kajian mana yang menjadi rujukan kerajaan pada masa itu ketika membuat keputusan?

“Adakah alternatif (kepada HSR) diusul atau dibincangkan oleh Jemaah Menteri?” soal Aziz.

Beliau berharap Loke akan mendedahkan butiran mengenai pembatalan HSR itu kerana penting bagi orang ramai untuk mengetahui semua fakta mengenai perkara itu.

Siasatan sedemikian harus “teliti dan telus”, katanya.

Susulan pembatalan projek itu, Menteri Ekonomi ketika itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendedahkan bahawa kajian ke atas cadangan HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru telah siap dan diserahkan kepada Jemaah Menteri.

Aziz berkata, butiran kajian ini juga perlu didedahkan kepada umum, dengan menyatakan bahawa pakar telah menyuarakan kebimbangan bahawa laluan Kuala Lumpur-Johor Bahru tidak mampan.

“Mesti ada akauntabiliti. Siapa yang mendapat manfaat daripada pembatalan HSR KL-Singapura? Kenapa keputusan bodoh itu dibuat?” katanya.

Terdapat banyak desakan agar projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dihidupkan semula. – SM

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button