NasionalParlimen

Pelajar Universiti yang tercicir semasa pandemik boleh menyambung pengajian

PELAJAR yang tidak menamatkan pengajian atau tercicir akibat pandemik Covid-19 boleh memohon semula untuk menyambung pengajian melalui UPUOnline.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ini bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dalam melanjutkan pelajaran.

Beliau berkata tiada masalah bagi mana-mana pelajar untuk meneruskan pengajian selepas menangguhkannya semasa pandemik.

“Kementerian melalui institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut menyediakan program intervensi akademik seperti sistem penasihat akademik (PA) bagi membantu pelajar di IPTA meneruskan pengajian.

“Kami juga menyediakan program intervensi bukan akademik seperti perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok, ‘buddy system’, program motivasi, program mentor-mentee, ‘Program Khas Akademik’ dan program kesedaran dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Noraini berkata inisiatif kementerian melalui Agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat, seperti yang dinyatakan dalam Lonjakan 3: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, bertujuan memastikan peluang pembelajaran kekal terbuka kepada semua.

Beliau berkata kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut menggalakkan penyertaan dalam kursus kelayakan mikro di universiti.

“Sijil yang diperoleh daripada kursus kelayakan mikro membolehkan seseorang itu membuat pemindahan kredit apabila mendaftar program pengajian di universiti.

“Kementerian juga menyediakan laluan alternatif untuk kemasukan ke universiti melalui laluan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) yang mana kemasukan tidak memerlukan sebarang kelayakan formal,” katanya.

Noraini menjawab soalan Akmal Nasir (Pakatan Harapan – Johor Baru) yang bertanyakan langkah kementerian dan universiti awam membantu pelajar yang tercicir termasuk yang tidak dapat melanjutkan pelajaran atau terpaksa menangguhkan pengajian kerana kesan pandemik Covid-19. -SM

(Visited 15 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button