NasionalNegeri

PM lancar Duta Komuniti Keluarga Malaysia

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia  bagi memastikan komuniti terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan (GP) apabila negara beralih dari pandemik Covid-19 masuk ke fasa endemik .

Ismail Sabri berkata, ini selaras mulai 1 April ini nanti, negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’. Beliau berkata, matlamatnya untuk membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik.

“Duta Komuniti yang berkonsepkan sukarelawan ini akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup,” katanya.

ISMAIL SABRI YAAKOB (empat dari kiri) merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, petang semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata, Duta Komuniti akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan bersopan santun dalam membuat teguran.

“Saya yakin program ini dapat memperkasakan komuniti, bersama Kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujar beliau.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata, program Duta Komuniti akan disertai 10 kementerian melalui agensi masing-masing untuk memastikan Duta Komuniti adalah daripada kalangan rakyat sendiri.

Annuar berkata, kementerian yang terbabit termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB); Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Kementerian Perpaduan Negara (KPN); Kementerian Pengangkutan (MOT); Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP); dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Pihak swasta juga akan dilibatkan iaitu di Fasa 1, Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) telah menyatakan hasrat untuk melaksanakan program ini di lapangan terbang dan Pos Malaysia di setiap kawasan yang dimasuki untuk penghantaran surat dan barangan,” katanya.

Tambah beliau, pelantikan Duta Komuniti akan dibuat secara rasmi dengan penglibatan secara sukarela dan akan dibekalkan dengan manual tanggungjawab sebagai Duta Komuniti serta aksesori khas bagi tujuan pengenalan.

Katanya lagi, Fasa Pertama Program Duta Komuniti akan bermula pada 1 hingga 30 April 2022, manakala Fasa Kedua pada 1 Mei hingga 30 Jun 2022 dan Fasa Ketiga pada 1 Julai hingga 30 September 2022 mengikut kesesuaian keadaan. – SM

(Visited 475 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button