NasionalParlimenPendidikan

Semua institusi pendidikan sediakan akses kepada murid berkeperluan pendidikan khas

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk memastikan semua institusi pendidikan menyediakan akses kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

Menjawab soalan lisan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen hari ini, KPM menyediakan program komprehensif bagi memenuhi keperluan MBPK menerusi tiga pilihan persekolahan.

“Tiga pilihan itu ialah sekolah pendidikan khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI),” jawab pihak KPM.

KPM seterusnya menjelaskan, SPK merupakan sekolah khusus yang menyediakan pendidikan khas bagi MBPK pada semua peringkat persekolahan.

“Manakala PPKI adalah program pendidikan bagi MBPK yang hanya dihadiri oleh MBPK di kelas khas di sekolah KPM,” ujar pihak kementerian.

PPI pula adalah program bagi MBPK yang dihadiri oleh MBPK bersama-sama dengan murid lain dalam kelas yang sama di sekolah KPM, katanya. “KPM juga menyediakan peluang pembelajaran dalam aliran kemahiran bagi MBPK melalui beberapa pilihan persekolahan sama ada di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Kolej Vokasional (KV) atau di PPKI,” jelasnya.

MBPK yang mengikuti pembelajaran di SMPKV mengikuti kurikulum Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan pengubahsuaian yang dilakukan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran, katanya.

Di samping itu, MBPK boleh mengikuti Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) di SMKPK. PVMA merupakan kursus aliran kemahiran yang membolehkan MBPK memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

MBPK diberikan keistimewaan pelanjutan tempoh persekolahan seperti yang berikut:

  1. tidak lebih daripada dua tahun di sekolah rendah;
  2. tidak lebih daripada dua tahun di sekolah menengah; atau
  3. satu tahun di sekolah rendah dan satu tahun di sekolah menengah.

“Bagi MBPK yang mengikuti pendidikan vokasional di SMPKV pula, tempoh persekolahan mereka boleh dilanjutkan satu tahun lagi,” menurut KPM.

Tambah KPM lagi, semua MBPK layak menduduki peperiksaan awam yang dikendalikan oleh KPM seperti Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Selaras dengan adanya kurikulum khusus bagi MBPK, KPM juga menyediakan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah supaya MBPK yang tamat persekolahan mempunyai bukti pencapaian mereka melalui Sijil Alternatif Sekolah Menengah.

“KPM juga menyediakan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) yang berperanan sebagai pusat yang menyediakan perkhidmatan sokongan merangkumi saringan, penilaian, intervensi, dan konsultasi kepada MBPK dan kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri berkeperluan khas berumur empat tahun dan ke atas.

“3PK turut menyediakan khidmat nasihat dalam aspek peralatan sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan MBPK berkaitan.

“3PK juga memberi perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa, penjaga, guru dan warga sekolah berkaitan pendidikan khas,” jelas KPM.

KPM juga memaklumkan dalam Dewan Rakyat, perkhidmatan sokongan yang disediakan di 3PK diberikan oleh pegawai mengikut bidang pengkhususan seperti audiologi, terapi pertuturan bahasa, terapi cara kerja, fisioterapi, psikologi klinikal, psikologi pendidikan dan intervensi pembelajaran. – SM

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button