fbpx
Nasional

Tukang masak cedera ditembak jiran

SEORANG tukang masak cedera di bahagian lutut kiri akibat ditembak oleh jirannya di Kampung Darang Buaya di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata beliau difahamkan kejadian pada kira-kira pukul 12.40 tengahari itu berpunca daripada perselisihan faham antara lelaki berusia 35 tahun itu dengan suspek.

“Hasil siasatan mendapati tukang masak itu ditembak jiranya iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai jurukimpal. Sebelum kejadian dipercayai berlaku selisih faham dan pergaduhan di antara mereka.

“Ketika kejadian suspek bertindak masuk ke dalam rumah tukang masak itu dan mengambil senapang patah milik bapa lelaki berkenaan yang disimpan dalam almari tidak berkunci sebelum terus menembak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, hari ini.

Beliau berkata suspek berjaya ditahan pada hari yang sama, dan pihak polis turut merampas selaras senapang patah dengan 43 kelongsong peluru serta pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian, dan menurutnya hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.


Abdul Rozak berkata suspek ditahan reman sehingga 23 November ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.– BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button