BeritaNasional

Rehat hari Ahad: Hanya indah khabar

CADANGAN Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh supaya Ahad dijadikan hari rehat bersama keluarga sememangnya satu usaha yang tidak dinafikan sangat baik.

Benar saranan itu dilihat sebagai langkah pencegahan dan penyelesaian dalam menghadapi masalah tekanan kerja.

“Jika tidak berbuat demikian (berehat), badan akan letih seterusnya mereka akan rasa tertekan untuk bekerja pada hari berikutnya.

“Secara tidak langsung, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal,” katanya selepas melancarkan Hari Keluarga Kiara Green Townhouse di Kuala Lumpur hari ini.

Hakikatnya bekerja tanpa henti atau rehat pastinya menjadikan badan keletihan dan tentunya bukan sahaja semangat untuk meneruskan tugasan pada hari berikutnya akan menurun, malah ia turut mengganggu produktiviti.

Namun di sebalik cadangan murni ini, apa pilihan yang ada pada kebanyakan rakyat di negara ini apabila pendapatan atau gaji diterima tidak mampu menanggung keperluan keluarga sendiri?

Dalam hal ini, tiada siapa sebenarnya mahu bekerja tujuh hari seminggu sekiranya hasil yang dibawa pulang setiap bulan adalah mencukupi.

Lebih malang lagi, keadaan ekonomi suram kebelakangan ini menyebabkan ramai yang sebelum ini mempunyai kerjaya, kehilangan kerja masing-masing akibat diberhentikan atau berlaku penutupan operasi atas alasan penjimatan.

Golongan yang kehilangan pekerjaan atau tidak cukup pendapatan ini rata-ratanya perlu memikirkan cara untuk meneruskan kehidupan.

Lantas, ruang masa yang ada perlu juga digunakan untuk menambah pendapatan.

Kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi juga sebenarnya tidak memberi pilihan kepada golongan ini untuk duduk berehat di rumah.

Pelbagai kerja sampingan terpaksa dilakukan semata-mata mahu menampung kos persekolahan anak-anak dan demi memastikan dapur terus berasap.

Untuk melihat mereka menikmati rehat yang cukup seperti disarankan pihak menteri, mungkin kerajaan boleh memikirkan untuk menyalurkan bantuan atau elaun tertentu.

Apa pun cadangan ini mungkin tidak relevan berdasarkan kerajaan sendiri sering membangkitkan isu tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk melaksanakan pelbagai program kebajikan rakyat!

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button