Nasionalpilihan

‘Saya dah beri pendidikan, hukumlah anak saya jika dia salah’

“Ini adalah ujian yang sedang saya hadapi dan jika anak saya (terbukti) bersalah, maka hukumlah dia kerana saya sudah beri pendidikan dan ilmu.”

Demikian kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berhubung penahanan anaknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau terbuka dengan siasatan terhadap anaknya yang didakwa terbabit dalam kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Mohd Shukri berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati anaknya bersalah, pihak berkuasa berhak menjatuhkan hukum kerana tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.

“Ia termasuk juga pegawai saya di mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar,” katanya seperti dilapor media dalam ucapan penggulungan di Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke 15, hari ini.

Adun Sanglang itu juga sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan yang dijalankan.

Awal hari ini, SPRM melanjutkan tahanan reman terhadap anak lelakinya sehingga esok bersama empat lagi individu yang terbabit dalam kes sama.

Manakala seorang penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berusia 20-an yang direman sebelum ini, dibebaskan setelah siasatan terhadapnya selesai.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan lanjutan reman itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – SM

(Visited 22 times, 12 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button