Politik

‘Parti sahabat sokong calon BN jadi PM’ – Annuar

AHLI Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mendakwa calon perdana menteri daripada Barisan Nasional mendapat sokongan daripada ahli Parlimen ‘parti sahabat’.

Dalam hantaran di media sosialnya, Annuar berkata, persetujuan tersebut diperolehi hasil perbincangan yang telah dilakukan hari ini.

Jelasnya, Barisan Nasional ketika ini mempunyai 42 kerusi parlimen. Untuk membolehkan calon PM di pilih, Barisan Nasional memerlukan 69 lagi sokongan dari parti parti lain untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 111 sokongan daripada 220 ahli Parlimen.

“Alhamdulillah baru sebentar tadi selesai perbincangan dengan ahli ahli parlimen dan wakil parti parti sahabat yang lain, untuk mohon menyokong seorang calon dari BN.

“Kami amat terharu kerana sejumlah yang lebih dari 69 yang diperlukan telah bersetujui untuk memberi laluan dan sokongan hitam putih kepada seorang calon dari BN,” kata Annuar.

Annuar berkata ahli Parlimen Barisan Nasional akan bertemu dengan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini untuk berbincang mengenai sokongan tersebut.

“Kami MP BN akan bertemu Pengerusi BN malam ini untuk sama-sama berbincang perkembangan yang baik ini

“Saya sendiri juga sudah menghubungi Presiden UMNO untuk satu panduan dan kata sepakat, mengambil kira perkembangan terkini, serta surat notis Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini,” katanya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu bagaimanapun tidak menyebut nama parti sahabat yang menyokong calon BN untuk menjadi perdana menteri kesembilan.

Kesemua 220 ahli Parlimen perlu menyerahkan surat akuan menyatakan sokongan kepada calon yang dipilih sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pukul 4 petang esok.-SM

(Visited 556 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button