Nasional

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan esok: Azmin ajak semua hayati perjuangan

KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil kesempatan sempena sambutan Hari Kemerdekaan esok, 31 Ogos, mengingatkan semua warganegara kepada perjuangan untuk menebus maruah tanah air yang diinjak-injak oleh kerakusan kuasa penjajah.

Beliau dalam kenyataannya hari ini berkata, sehubungan itu, perjuangan suci ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada anak watan dan putera-puteri Malaysia untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara dan kemakmuran rakyat.

Berikut adalah kenyataan penuh Azmin Ali:

Masa berlalu dan Negara berdepan dengan pelbagai cabaran baru. Kita berdepan dengan pembela nilai budaya asing yang bersekongkol dengan kedurjanaan dan meruntuhkan tamadun umat.

Kita juga berdepan dengan kakistocracy yang gagal mengisi kemerdekaan dengan prinsip perjuangan yang luhur dan ikhlas, tenggelam dan lemas dengan kekuasaan dan kebesaran, acap berkata tidak dikota, ekonomi punah rakyat gelisah.

Akibatnya gelombang rakyat memuncak, menuntut dimerdekakan dari tangan-tangan perosak.

Maka, marilah kita rakyat Malaysia, bersatu hati dan bersatu tenaga, membingkai muafakat demi umat dan negara.

Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah detik untuk kita mencipta sejarah dengan menggilap semangat moral yang jitu demi Malaysia yang gagah dan bersatu.

Kita tumpu agenda prihatin rakyat dengan memacu pertumbuhan ekonomi lestari, melonjak kehebatan daya saing Malaysia di peringkat rantau dan global, mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menjamin masa depan yang harmoni untuk rakyat Malaysia. – SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button