Nasional

Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dijangka siap 2024

CITA-CITA rakyat Kelantan untuk memiliki lebuh raya bakal tercapai pada 2024 apabila lebuh raya Kota Bharu keKuala Krai dijadualkan siap.

Lebuh raya sejauh 74 kilometer  setakat ini sudah siap beberapa fasa dan bakinya akan disiapkan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek lebuh raya Kuala Krai ke Gua Musang dan seterusnya ke sempadan Pahang turut dibincangkan dan semuanya berjalan lancar namun masih tertumpu kepada isu peruntukan.

Mustapa Mohamed

Katanya, Kelantan akan memohon peruntukan disediakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi membolehkan cita-cita rakyat Kelantan untuk mempunyai lebuh raya tercapai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata beliau juga diberi taklimat cadangan bagaimana boleh melancarkan pembangunan di Kelantan terutama berkaitan perbelanjaan penyelenggaraan jalan.

“JKR Kelantan berpandangan banyak jalan-jalan perlu diselenggara lebih baik dan sudah pastinya diberi tambahan peruntukan.

“Satu lagi cadangan ialah mengenai mewujudkan semula Jawatankuasa Tender di peringkat negeri melibatkan projek di bawah RM20 juta yang sekarang ini sudah tiada. Saya difahamkan jawatankuasa ini boleh mempercepatkan lagi pertimbangan ke atas beberapa projek di negeri ini,” katanya seperti yang dipetik dari BERNAMA.

Mengulas projek pembangunan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sudah lama diuar-uarkan, Mustapa berkata beliau difahamkan perbincangan sudah di peringkat akhir dan keputusan mengenainya mungkin akan dibuat tidak lama lagi.

Pada Januri lalu, kerajaan Pakatan Harapan memberi jaminan akan memastikan lima projek berimpak tinggi yang diumumkan di Kelantan, akan bermula tahun ini.

Lima projek berkenaan adalah projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli; Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Jambatan Palekbang – Kota Bharu.

Walaupun projek berkenaan berlaku kelewatan, namun kesemua projek itu tetap akan dilaksanakan.

Lima projek berkenaan adalah projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3); menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP); laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli; Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Jambatan Palekbang – Kota Bharu.

Pada 7 Mac 2019 pula, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika lawatan ke Kelantan mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu, menjadikan peruntukan keseluruhan disalurkan kepada Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal RMKe-11 sebanyak RM1.4 bilion.

Beliau berkata, menerusi peruntukan itu, lima projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu. – SM

(Visited 1,773 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button