fbpx
Politik

Muafakat Nasional: Perjuangan masih jauh dan berliku

MUAFAKAT Nasional meraikan ulangtahunnya yang pertama hari ini dan ia diingati sebagai hari yang bersejarah kepada masyarakat Islam dan Melayu.

Ini apabila dua parti terbesar yang mewakili kumpulan itu iaitu UMNO dan Pas yang selama ini bermusuhan di atas pentas politik mengambil keputusan untuk bersatu menghadapi DAP dan Pakatan Harapan.

Bagi Ketua Wanita UMNO  Datuk Dr. Noraini Ahmad perjuangan kedua-dua parti tersebut masih jauh dan berliku.

“14 September 2019 akan diingati sebagai hari bersejarah kepada masyarakat orang Islam apabila dua parti terbesar negara ini duduk bersama di atas pentas melafazkan…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Dengan Izin Allah SWT sesungguhnya UMNO Ddan Pas dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.


“Hari ini genap setahun peristiwa tersebut. Namun perjuangan ini masih jauh dan berliku. Moga persahabatan dua parti terbesar ini tetap kekal walau ada dugaan dan ujian,” kata Noraini.

Sementara itu Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan berkata, hari ini amat amat bersejarah kepada UMNO dan Pas.

“Hari ini dalam sejarah HPU914, di sinilah bermulanya muafakat yang membawa berkat… “unity to be real must stand the severest strain without breaking – Gandhi”,” kata Takiyuddin.

Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS pada 14 September 2019 antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan untuk:

1. Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan negara, Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

2. Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang membabitkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

3. Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

4. Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

5. Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baharu untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.-SM

 

 

 

 

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button