Politik

Khalid dakwa 30 MP UMNO sokang Anwar

PENGARAH Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad mendakwa 30 ahli Parlimen UMNO menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan.

Dalam wawancara dengan tv internet Jom Channel malam tadi, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, Anwar turut membawa surat sokongan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya difahamkan, selain surat-surat dari Mohamad Sabu yang mewakili Amanag dan surat Lim Guan Eng yang mewakili DAP, Datuk Seri Anwar juga membawa surat daripada Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyatakan 30 MP Umno, kalau tak silap saya, menyokong Anwar.

“Ia dikemukakan setakat itu sahaja tanpa SD. Namun, saya difahamkan surat Zahid Hamidi ada senarai namanya,” kata Khalid.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa Anwar mempunyai majoriti yang jelas iaitu kombinasi sokongan PKR (39), DAP (42), Amanah (11) dan 30 daripada UMNO.

Sementara itu, menurut Khalid  walaupun Anwar tidak menyerahkan surat akuan bersumpah Ahli Parlimen terbabit, Yang Dipertuan Agong perlu menyiasat dokumen yang diserahkan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Tetapi kalau Anwar bawa SD sekalipun, Agong tetap perlu perincian dan siasatan. Betul atau tidak.

“Yang ada semalam adalah surat (dari ketua-ketua parti) yang sememangnya tidak akan berakhir pada hari semalam. Ia perlu disiasat dan ditemuramah.

“Selepas itu, maka Yang Dipertuan Agong akan berjumpa dengan ketua-ketua parti ini untuk disahkan apakah surat itu benar atau tidak,” katanya.

Istana Negara dalam satu kenyataan dua hari lalu berkata, dalam sesi mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah, Anwar hanya mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menasihatkan Anwar untuk akur dan menghormati Perlembagaan.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil.-SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button