fbpx
Politik

GLC PERLU DITADBIR PROFESIONAL, BUKAN AHLI POLITIK

 

BEBERAPA Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu hari ini bertegas meminta kerajaan tidak mencampuradukkan kedudukan dan jawatan politik melibatkan parti-parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melantik Ahli-Ahli Parlimen mereka ke jawatan pengerusi di pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

NGO tersebut yang terdiri daripada Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan pernyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan PN bercadang untuk melantik Ahli-Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri sebagai Pengerusi pelbagai GLC serta agensi-agensi kerajaan.

Malah seorang anggota jawatankuasa Pas Pusat Dr. Mohd Zuhdi Marzuki, juga pernah menyatakan bahawa adalah munasabah untuk meletakkan Ahli-Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui GLC berkaitan kerana mereka boleh memantaunya bagi pihak rakyat.

Dalam satu kenyataan media kepada Suara Merdeka hari ini NGO-NGO berkenaan turut meragui perlantikan itu apatah lagi jika yang dilantik terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan.


“Kedua-dua pernyataan ini sangat jauh tersasar. Jawatan utama di GLC tidak boleh dijadikan habuan politik dan tugas Pengerusi bukanlah menjadi pemantau tetapi pemangkin kepada prestasi GLC tersebut.

“Untuk menjadi pemangkin positif, orang yang dipilih perlu mempunyai kredibiliti, pengalaman, kelayakan, sifat amanah dan rekod cemerlang dalam bidang berkaitan.

“Menjadi seorang Ahli Parlimen tidak bermaksud mereka mempunyai kelayakan profesional untuk menjadi teraju sebuah GLC atau agensi kerajaan.

“Kami menegaskan bahawa pemimpin politik tidak wajar dilantik mempengerusi entiti perniagaan seperti GLC dan adalah lebih baik mereka hanya memegang jawatan politik dan tinggalkan jawatan korporat kepada golongan profesional dan teknokrat,” menurut kenyataan media tersebut.

Ujar mereka lagi, semasa pemerintahan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) ramai Ahli Parlimen mereka telah dilantik menjadi Pengerusi GLC seperti FGV, Tabung Haji, FELCRA, MARA dan lain-lain.

Kata mereka lagi, akibatnya GLC ini menjadi mangsa kerakusan dan pengkhianatan serta mengalami kerugian besar hingga terpaksa diselamatkan (bail out) oleh kerajaan. Lebih parah, beberapa pengerusi lantikan dalam kalangan ahli politik ini pula kini sedang menghadapi tuduhan pecah amanah dan penyelewengan di mahkamah.

Oleh itu, adalah menjadi harapan NGO-NGO berkenaan agar kerajaan hari ini belajar dari pengalaman lalu iaitu apabila pemimpin gagal memegang amanah maka rakyat akan hilang keyakinan dan beralih arah.

Katanya lagi, GLC-GLC ini perlu kembali kepada peranan badan amanah orang Melayu dan rakyat Malaysia dan ia perlu diurus oleh mereka yang mampu menjaga kepentingan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan.

Menurut mereka, semua pihak perlu sedar bahawa banyak ahli politik yang dilantik tidak mempunyai kelayakan asas dan tidak mengikuti peraturan urus tadbir dan ketelusan syarikat. Mereka bahkan tidak faham perbezaan asas antara jawatan eksekutif dan bukan eksekutif.

“Siasatan yang dijalankan telah membongkar penyalahgunaan kuasa dan rasuah mega yang hampir melumpuhkan GLC-GLC tersebut.

“Maka prinsip utama politics and business do not mix perlu menjadi SOP dalam mana-mana negara demokrasi yang matang. Sejarah telah membuktikan apabila politik dan perniagaan dicampur-adukkan, perniagaan akan meluru ke arah kehancuran.

“Oleh itu ACCIN, PEMBELA, MAPIM, MTEM, DPMM dan MBM menyeru agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempertaruhkan masa depan GLC dan badan-badan berkanun yang menjadi tunggak ekonomi dan pentadbiran negara dengan meletakkan syarikat-syarikat ini bawah pimpinan mereka yang tidak mempunyai latar belakang dan keupayaan memimpin syarikat-syarikat korporat gergasi ini.

“Pemimpin dan Pengerusi GLC yang bakal dilantik pula bukan sahaja perlu kompeten namun harus memainkan peranan pembangunan negara melalui peranan GLC dalam sektor strategik dan masa hadapan.

“Mereka bukan hanya perlu memastikan keuntungan pada balance sheet yang cantik namun mampu membangunkan industri dan rantaian bekalan tempatan terutamanya penyertaan SME Bumiputera selain harus kompeten dan berjiwa bangsa,” menurut kenyataan itu lagi.

Kata mereka lagi, kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri hari ini telah memulakan perjalanan dalam rekod yang baik melalui perlantikan Ahli Kabinet yang agak bersih, serta berjaya menangani isu Covid dengan cekap selain pakej ekonomi Rangsangan PRIHATIN yang baik untuk masyarakat berpendapatan rendah dan SME.

Maka janganlah pula rekod baik ini dicalarkan dengan perlantikan ahli politik dan mereka yang tidak kompeten untuk mempengerusikan GLC yang akhirnya mampu merosakkan kepercayaan rakyat.- SM

Show More

Related Articles

Back to top button