Nasionalpilihan

MPOC dan Bursa Komoditi Izmir jalin kerjasama, tingkatkan industri sawit negara

MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Komoditi Izmir di Turki memeterai memorandum persefahaman (MOU) sebagai langkah strategik yang mampu meningkatkan pembangunan industri sawit Malaysia dan penguasaan pasaran.

Menerusi MOU tersebut, Bursa Komoditi Izmir yang diasaskan pada tahun 1891 melalui cabang pendidikannya, Akademi Bursa Izmir (IBA) akan menjalinkan kerjasama dengan MPOC dalam
bidang pendidikan, promosi dan penggunaan minyak sawit Malaysia serta Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, MPOC dan IBA sepakat untuk berkolaborasi melalui pelbagai projek merangkumi perkongsian maklumat perniagaan dan teknikal, peningkatan kesedaran, pensijilan dan aktiviti promosi bersama.

“IBA juga bersetuju untuk menyelaraskan biasiswa kepada wakil, pelajar dan ahli akademik untuk latihan di bawah kajian lapangan IBA dan Malaysia.

“IBA juga akan membantu MPOC untuk melaksanakan kempen penerangan kepada rakyat Turki berjumlah 80 juta orang mengenai faedah pemakanan dan kesihatan minyak sawit Malaysia selain meningkatkan pemahaman serta menjelaskan kelebihan khasiatnya,” katanya.


Majlis menandatangani MOU tersebut dihadiri oleh Pengurus Pembangunan Pasaran dan Pemasaran MPOC, Muhammad Kharibi Zainal Ariffin; Presiden Lembaga Eksekutif Bursa Komoditi Izmir, Isinsu Kestelli; Duta Besar Malaysia ke Turki, Sazali Mustafa Kamal dan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPPK, Mad Zaidi Mohd Karli.

Menurut Mohd Khairuddin, persetujuan persefahaman turut dicapai untuk merancakkan lagi
Program Kesedaran Perdagangan Minyak Sawit (POTAP) antara kedua-dua pihak untuk memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai industri minyak sawit Malaysia dan faedahnya.

Jelasnya, kedua-dua agensi akan memperincikan program berkenaan melalui perjanjian
berasingan yang akan diteliti dan ditentukan kemudian.

“Malaysia dan Turki sebelum ini pernah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas
(FTA) pada tahun 2015 di mana eksport minyak sawit Malaysia meningkat kepada lebih dari 600,000 tan setiap tahun berbanding sebelum FTA iaitu kurang 100,000 tan setahun.

“Pada tahun lalu, Turki mengimport 615,872 tan minyak sawit Malaysia iaitu lebih 90 peratus
daripada jumlah import minyak sawit Turki,” katanya.

Tambahnya, KPPK berharap melalui memorandum ini, manfaat dan kefahaman minyak sawit negara dapat dipertingkatkan ke Turki seterusnya menjadi gerbang kepada eksport produk-produk sawit Malaysia ke Eropah. -SM

(Visited 22 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button