Nasional

Malaysia, Indonesia, Brunei desak tindakan terhadap Israel

TIGA buah negara Islam di Asia Tengara mengeluarkan kenyataan bersama mengecam keganasan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin di Timur Jerusalem dan Gaza.

Dalam kenyataan oleh Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Presiden Indonesia Joko Widodo mengutuk secara keras pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.

Ini termasuk hak asasi manusia melalui dasar tidak berperikemanusiaan, penjajahan dan apartheid terhadap rakyat Palestin di kawasan yang dijajah Israel.

Ketiga-tiga negara mendesak tindakan segera diambil terhadap Israel yang telah melakukan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Berikut kenyataan penuh:

Kami mengecam sekeras-kerasnya pelanggaran dan pencerobohan terang-terangan yang dilakukan oleh Israel, yang mensasarkan orang awam di seluruh wilayah Palestin yang dijajah, khususnya di Jerusalem Timur dan  Gaza, yang telah membunuh, mencederakan dan menyebabkan penderitaan terhadap ramai orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kami juga sangat prihatin dengan peluasan penempatan haram Israel; dan penyitaan bangunan milik Palestin di Tebing Barat yang dijajah, termasuk Jerusalem Timur.

Kami juga mengutuk pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia, yang dilakukan oleh Israel, tindakan tidak berperikemanusiaan, penjajahan dan apartheid terhadap rakyat Palestin di wilayah Palestin, oleh itu menyeru agar tindakan secara kolektif diambil dengan segera terhadap pihak yang melakukan pelanggaran tersebut.

Kami menyeru semua pihak untuk menahan diri secara maksima, menghentikan serangan terhadap orang awam, dan mengambil langkah dalam meredakan situasi dan menegakkan undang-undang dan ketertiban antarabangsa.

Kami mendesak kedua-dua pihak untuk menerima kehadiran sementara pemantau antarabangsa di bandar Al-Quds, untuk memantau kekejaman di wilayah yang diduduki rakyat Palestin.

Kami juga mendesak Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk bertindak segera dan mengambil semua langkah yang mungkin untuk menjamin keselamatan dan perlindungan orang awam Palestin di seluruh wilayah Palestin yang diduduki, dengan mengingatkan masyarakat antarabangsa, dan Majlis Keselamatan PBB, khususnya, untuk menghentikan semua keganasan, dan memenuhi kewajibannya menegakkan keamanan antarabangsa.

Kami meminta Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengadakan sesi kecemasan untuk meredakan ketegangan dan membuat Resolusi Perdamaian dengan tujuan untuk menghentikan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk tetap tegas dalam komitmen mereka untuk melindungi “penyelesaian dua negara” ke arah mencapai negara Palestin yang merdeka, berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin.

Kami mengulangi solidariti dan komitmen kepada rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, dan pembentukan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Kami bersedia untuk menyokong usaha antarabangsa yang bertujuan mencapai keamanan yang komprehensif, adil, dan berkekalan di Timur Tengah berdasarkan Resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa yang berkaitan, termasuk undang-undang kemanusiaan.

H. Joko Widodo, Presiden Indonesia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia.

Seri Paduka Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

 

 

 

 

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button