Rencana

Menteri ‘setahun jagung’ contohilah kerja keras, imej Dr Mahathir

Tahun lepas, gambar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menteri belia dan sukan kita yang handsome ini bersama beberapa orang, dikongsi dalam media sosial sedang main golf di pejabatnya.

Marah Syed Saddiq waktu itu terhadap pihak yang menyebar gambar tersebut. Gambar itu, jelas beliau, sebenarnya ketika mereka membuat rakaman untuk satu pertandingan golf.

Katanya: ”Ini namanya troll tak bertempat. Rakaman video untuk pertandingan golf pun dipolitikkan.”

Bagitu juga foto yang disebar pada tahun 2016 terpapar beliau sedang berhibur bersama beberapa orang di sebuah kelab di Manila. Mengakui individu dalam foto itu merupakan dirinya yang diambil pada tahun 2013, kata Syed Saddiq, dia bukan manusia yang sempurna dan sedang dalam proses memperbaiki diri.

Dan malam tadi, tular pula gambar di media sosial beliau memanjat pagar menyelamatkan diri dari sekumpulan memprotes di Johor.

Hai! macam-macam hal yang berlaku pada menteri kita yang kacak ini ya. Suara Merdeka jatuh kasihan pula kepada Syed Saddiq. Mengapa harus dikacau pemimpin muda yang baru meningkat naik ini.

Amat tidak wajar sama sekali, kalau benar penjelasan Syed Saddiq, tindakannya memanjat pagar disebabkan perlakuan sekumpulan individu berpakaian serba hitam kira-kira dua ratus orang mengganggu majlis santai Armada Johor yang diturut disertai ibu bapanya.

Polis mesti siasat dan buka fail kes. Tiada pihak yang boleh berlagak gengster dalam negara yang mengamalkan undang-undang ini.

Bagaimanapun, Suara Merdeka ingin juga berkongsi kisah berbisanya menteri-menteri kita yang lepas-lepas. Biarpun ada kalangan sebilangan menteri naik dari usia muda, mereka biasanya melalui terlebih dahulu sistem apprenticeship atau latihan dari bawah.

Mulai dari tahap setiausaha parlimen hinggalah ke tahap menteri.

Realitinya menteri-menteri muda dan pada pengamatan Suara Merdeka masih `setahun jagung’ hari ini harus mengenali cara bekerja Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tiada perkara yang terlalu kecil bagi Dr. Mahathir. His attention to details is fantastic.

Pernah seorang bekas menteri berkongsi dengan Suara Merdeka satu kisah pada suatu pagi dalam bulan Julai 1983.

Ketika itu Dr. Mahathir membawa anggota Kabinetnya melihat tandas contoh bagi orang Islam sebelum sesi mesyuarat bermula di pejabat lama JPM di Jalan Dato’ Onn.

Tandasnya biasa saja – jenis duduk yang mempunyai paip pancut untuk bersuci. Tangki air tandas pula dilengkapkan dengan sejenis bekas cembung yang diairi sejenis air yang mengalirkan air terus ke tangki. Ini membolehkan seseorang membasuh tangan dan air terpakai lantas masuk ke tangki tandas yang boleh flush najis ke salurnya.

Pada masa yang lain pula, Dr. Mahathir mengesyorkan supaya skim perumahan mempunyai cukup tangki penampung air hujan yang boleh digunakan oleh saliran air tandas.

Itu hal yang barangkali `remeh’, tapi impaknya besar.

Dr. Mahathir lekas bertindak dan cepat buat kerja. Pada 1982 beliau baru setahun jadi PM, waktu rasmi negara diawalkan setengah jam. Ertinya, jika sebelum itu waktu sampai ke pejabat ialah 8 pagi, dari segi sebenar, waktu tersebut disingkatkan setengah jam lebih awal iaitu pada 7.30 pagi.

Tetapi waktu jamnya tetap 8 pagi. Singapura juga mengubah waktu jamnya ikut Malaysia. Penyelarasan waktu Sabah-Sarawak dan Semenanjung dilaksanakan. Dr. Mahathir benar-benar telah melakukan apa yang dibidalkan dalam bahasa Inggeris, “He has turned back the clock”.

Mulai tahun 1981 hingga 1986, pembaharuan demi pembaharuan dibuatnya. Kakitangan awam, termasuk menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan anggota pentadbiran dikehendaki memakai lencana nama masing-masing.

Dr. Mahathir pantas berfikir, pantas bekerja dan pantas menyusul perkara-perkara yang didasarkan untuk dilaksanakan.

Sama seperti era pertama beliau, era kedua selaku PM pun, beliau seperti itu juga – kepadanya sesuatu perkara itu seolah-olah seperti harus dilaksanakan semalam.

Itu secebis kisah hebat Perdana Menteri tertua di dunia ini.

Banyak teladan boleh dipelajari oleh menteri-menteri baharu termasuklah yang muda-muda belaka dalam kerajaan hari ini.

Suara Merdeka doakan menteri-menteri sedia ada sukses dalam portfolio masing-masing, apatah lagi waktu ini kita sedang berdepan cabaran-cabaran getir ekonomi semasa.

Ini termasuklah langkah-langkah pencegahan terhadap wabak coronavirus yang melanda dunia hari ini.

– SM

(Visited 957 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button