Rencana

Muhyiddin buktikan beliau lebih hebat daripada Tun M

TUN Dr. Mahathir Mohamad individu yang memegang rekod menjadi perdana menteri sebanyak dua kali dan menjadi perdana menteri paling berusia di negara ini.

Pelbagai lagi rekod hebat dipegang oleh Tun M. Tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan bahawa rekod beliau paling hebat dan lebih hebat dari Tun M.

Muhyiddin satu-satunya perdana menteri yang masih lagi memerintah negara walaupun telah kehilangan majoriti di Parlimen.

Majoriti tipis beliau hilang apabila dua ahli parlimen menarik sokongan kepada Muhyiddin yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional disertai oleh UMNO, Bersatu dan Pas.

Lebih hebat parti beliau adalah yang paling kecil dalam pakatan itu, tetapi mereka yang berkuasa dan berjaya mencucuk hidung Pas yang sebelum ini cukup lantang dan melumpuhkan UMNO.

Pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR, Warisan dan beberapa parti lain ibarat anjing menyalak bukit dibuatnya.

Kekebalan Muhyiddin mengatasi segalanya kerana tiada siapa benar-benar menggugat beliau ketika situasi negara dirundung pandemik virus korona.

Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk pelaksanaan darurat bagi menangani wabak itu dan peluang itu digunakan oleh Muhyiddin melumpuhkan gerak musuhnya.

Di negara ini sesiapa yang boleh menandingi rekod Tun M, dia adalah seorang yang hebat. Pemimpin lain boleh main ke tepi kerana mereka tidak setajam pemikiran Muhyiddin.

Jika Tun M ada yayasan pemikiran beliau, Muhyiddin yang lebih hebat juga sepatutnya dikaji pemikirannya.

Bagi orang UMNO sehingga ke hari ini mereka tidak percaya Muhyiddin mempunyai pemikiran sehebat itu, sebaliknya mereka mengatakan di belakang Muhyiddin adalah Tun M.

Apakah yang menjadi Muhyiddin? Formulanya mudah sahaja beliau tidak banyak bercakap tetapi banyak bergerak secara diam-diam hingga pihak lawan dan kawan sukar memahami gerakan beliau.

Bukan seperti orang UMNO kerja sedikit gegak gempitanya berlebihan, akhirnya memakan diri sendiri.

Pemimpin UMNO ini gerak kerja mereka semakin tidak relevan. Bayangkan ketika perintah PKP dan pandemik mengamuk ada pemimpin yang mengedarkan ayam hingga ribuan berbaris mahu mendapatkan hanya seekor ayam.

Belajarlah daripada pemimpin muda seperti Syed Saddiq Abdul Rahman. Walaupun parti Muda tajaan beliau belum berjaya didaftarkan, tetapi dia bijak bergerak dan membantu rakyat.

Tumpuan beliau adalah golongan muda iaitu dengan mengedar bantuan komputer riba. Ia bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada golongan muda yang sangat memerlukan peralatan itu untuk belajar, tetapi juga untuk berniaga secara online bagi menjana pendapatan ketika negara berdepan situasi ekonomi yang getir.

Era Tun M sudah berakhir, kini era Muhyiddin memang nampak seperti lemah, kini menjadi masalah kepada semua pihak dan mereka tidak mampu menjatuhkannya walaupun sudah hilang majoriti.

(Visited 923 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button