Nasional

Rosakkan harta masjid, bapa Bob Lokman didenda

Bapa selebriti Bob Lokman didenda RM4,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut pegawai masjid dan melakukan khianat dengan memecahkan harta masjid, November tahun lepas.

Menurut laporan Bernama, Majistret Mohd Izzuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman itu terhadap Lokman Ahmad, 83, atau lebih dikenali sebagai Ayah Man, selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Masjid Tok Kenali di Kubang Kerian, dekat sini, pada 11 pagi,  21 Nov 2020.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh yang berkerusi roda itu didenda RM2,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Lokman didakwa telah mengeluarkan kata-kata ugutan dengan memberitahu Mohd Hanis Sulaiman, 34, bahawa dia ingin menetak dan menembak Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 39 iaitu penjaga amanah Masjid Tok Kenali.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan khianat dengan memecahkan pasu bunga dan memotong pokok-pokok bunga di kawasan Masjid Tok Kenali, sehingga menyebabkan kerugian lebih RM150 mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, memohon tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Murtadza Mohd Mokhtar memohon agar mahkamah tidak menjatuhkan hukuman berbentuk pemenjaraan ke atas anak guamnya, dengan alasan tertuduh sudah berusia 83 tahun.

“Tertuduh juga menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah pendengaran.

“Dengan membuat pengakuan bersalah ini, ia membantu mempercepatkan urusan semua pihak. Saya juga merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara atas faktor penularan wabak COVID-19,” katanya.

(Visited 117 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button