NasionalRencana

Hari Kebangsaan yang penuh dengan rasa resah dan sedih

ESOK kita akan sambut Hari Kebangsaan atau ulang tahun kemerdekaan yang ke-64.

Sambutan hari kebangsaan kali ini sepatutnya sangat bermakna kerana kita sedang berdepan dengan kemelut politik, krisis ekonomi dan masalah pandemik.

Tiga permasalahan yang menghimpit hidup kita semua. Kita telah kehilangan orang yang kita kenali dan kasihi dalam perjuangan ini dan ia sebenarnya satu peperangan yang sangat hebat yang pernah kita lalui.

Ketakutan, ketidaktentuan masa hadapan sering menghantui kita dalam memikirkan apa kesudahan krisis dan kemelut yang kita hadapi ini.

Kita hanya boleh meramal negara akan mencapai imuniti kelompok apabila 80 peratus penduduk negara ini telah lengkap vaksin, tetapi kepastian belum tentu kerana jika timbul varian baharu Covid-19 yang mampu menembusi benteng vaksin di dalam badan kita, ia akan menjadi tidak bermakna semua perancangan kita.

Setengah penggal pentadbiran negara kita telah menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dan ini juga tidak pernah kita saksikan sebelum ini. Ketika perdana menteri kesembilan baharu sahaja mengangkat sumpah dan para menteri kabinet belum sempat mengangkat sumpah, pelbagai kisah tidak enak telah kita dengari.

Semua itu sudah pasti masih lagi jauh daripada membentuk sebuah negara yang stabil dan dapat memulihkan ekonomi negara dengan kadar segera. Kita akan terus terbelenggu di dalam situasi ini beberapa tahun lagi.

Yang paling membimbangkan apabila semangat patriotik kita semakin merudum. Dengan segala kekangan hidup hari ini semangat itu turut sama lemah.

Menjelang sambutan hari kebangsaan kita tidak disajikan dengan filem, mahupun drama yang berunsurkan semangat kenegaraan kerana kita terlalu asyik dengan hiburan yang asing membuatkan kita berangan panjang, tanpa melihat realiti kehidupan sendiri.

Realitinya kita rakyat lebih memikirkan bagaimana untuk mengisi perut daripada menyanyikan lagu kebangsaan dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Dalam situasi gawat pandemik, kita terpaksa bergerak ke sana dan ke sini mencari rezeki walaupun terpaksa bersilat dengan pihak berkuasa pada masa yang sama mengambil risiko jangkitan wabak.

Ramai yang jatuh miskin hingga terpaksa hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ramai juga yang jatuh sakit.

Dalam keterpaksaan meneruskan kelangsungan hidup itu ramai juga yang tewas kepada wabak Covid-19. Begitu ramai anak-anak menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

Ibu bapa tua yang kehilangan anak yang menjadi tempat bergantung harapan untuk meneruskan kehidupan.

Kita bukan berjuang menentang Komunis atau penjajah, tetapi kita setiap hari berjuang untuk memastikan bil-bil dapat dijelaskan, pada masa yang sama memastikan ada makanan dihidang untuk ahli keluarga.

Norma baharu bukan bermakna kita dapat mengurangkan perbelanjaan tetapi bil elektrik dan bil telekomunikasi terus meroket naik kerana semua pembelajaran dan pekerjaan dilakukan secara atas talian dan dari rumah.

Surat merah notis pemotongan bekalan air dan notis pemotongan elektrik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan hari ini. Sudah ada yang terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik dan hanya menggunakan lilin.

Mungkin jika situasi ini berlarutan ada yang kembali kepada kehidupan secara asas iaitu kembali menggali perigi dan mencari kayu api kerana segalanya sudah tidak dalam jangkauan lagi kerana kos yang terlalu tinggi.

Harga makanan dan barangan keperluan juga semakin tidak mampu dijangkau. Kerajaan yang ada juga tidak menentu serta tidak mampu berbuat apa-apa.

Bilangan mereka yang mundar mandir tanpa pekerjaan juga semakin tinggi. Semakin ramai yang sudah hampir enam bulan tidak mempunyai pekerjaan tetap terpaksa berikhtiar dengan apa juga cara untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Apa sangat yang boleh diharapkan kepada kerajaan yang sehari dua lagi terpaksa dibuktikan keabsahannya pula di parlimen. Jika tiada keabsahaan sekali lagi kerajaan akan tumbang.

Resah, sedih dan pilu. Itulah perasaan rakyat menjelang sambutan ke-64 kemerdekaan negara.

 

 

(Visited 918 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button