Nasional

Bot karam: Empat nelayan berenang lebih 14 jam

“KAMI  terpaksa berenang lebih 14 jam,” demikian kata tekong bot Tuan Azhar Tengku Long, 46, iaitu salah seorang daripada empat nelayan yang ditemukan selamat selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu, petang, semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Tuan Azhar berkata kesemua mereka mengambil keputusan terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan, selepas bot mereka dimasuki air serta karam, susulan dipukul ombak ketinggian antara tiga hingga empat meter pada kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 tengah hari.

“Ketika kejadian kami sedang berusaha untuk menaikkan pukat di kawasan perairan itu, tetapi tiba-tiba tanpa disedari ombak semakin besar sehingga bot semakin ditelenggami air,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.

Selain Tuan Azhar, nelayan yang terselamat adalah anaknya, Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, Mohd Azri Mohd Rasdi, 28, yang berada dalam keadaan stabil, manakala, Norizan Yusof, 45, dikejarkan ke Pusat Kesihatan Kuala Besut bagi mendapatkan rawatan kerana kekurangan oksigen, sejurus tiba di jeti berkenaan.

Terdahulu, keempat-empat nelayan yang berasal dari Kelantan itu ditemukan di pesisir pantai berhampiran sebuah resort di Pulau Perhentian Besar, kira-kira 8.45 pagi tadi.


Bagaimanapun, seorang lagi mangsa Saari Saleh, 40, yang berasal dari Terengganu masih belum ditemukan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia, sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Menurut Tuan Azhar, keempat-empat mereka berenang menuju semula ke arah Pulau Perhentian, namun Saari pula bertindak meninggalkan kumpulan dan menyelamatkan diri secara bersendirian.

“Setakat ini saya tidak tahu sama ada dia selamat atau sebaliknya,” katanya di samping meluahkan kebimbangan keadaan rakannya yang masih belum ditemui itu.

Sementara itu, ibu Saari, Hurani Awang, 73, berkata akan terus mendoakan serta yakin bahawa anaknya masih selamat, namun beliau juga redha sekiranya mendapat perkhabaran duka.

Dalam kejadian 1 tengah hari semalam, bot nelayan yang dinaiki lima nelayan itu karam di perairan Pulau Perhentian akibat dipukul ombak, ketika keadaan laut bergelora dan cuaca hujan lebat. – BERNAMA

P/s : Suara Merdeka adalah sebuah portal yang bergerak atas inisiatif wartawan yang kehilangan pekerjaan. Sekiranya pihak pembaca berkesudian untuk membantu perjuangan kami, sila klik link ini.

(Visited 72 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button