fbpx
Politik

Mengapa Mahathir berani pada 1988, Muhyiddin tidak?

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus mengambil contoh tindakan demokratik Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah mengatur sumpah setia ahli Parlimen pada tahun 1988 selepas UMNO diharamkan dan sejurus membentuk UMNO Baru, untuk mendapatkan kembali usul percaya Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Suara Merdeka, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jika Dr. Mahathir berani berbuat demikian, mengapa tidak Muhyiddin yang ketika ini dalam kedudukan kerajaannya yang goyah hanya memerintah dengan majoriti tipis satu dua kerusi Parlimen.

“Dr. Mahathir sendiri berani nak dapatkan sokongan terbuka daripada ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat sebab ada undi kepercayaan kepada beliau selepas UMNO diharamkan 32 tahun lalu.

“Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam kancah Parlimen, tetapi diselesaikan dalam parlimen dahulu,” katanya.


Pada tahun 1988 selepas mahkamah mengharamkan UMNO, telah berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri buat beberapa hari sehinggalah UMNO Baru ditubuhkan.

Berdasarkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Presiden MCA semasa itu, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik.

Bagaimanapun tidak berlaku perlantikan watikah secara rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Liong Sik yang dikatakan menjadi `Perdana Menteri’ selama 10 hari dari 4 Februari hingga 13 Februari 1988.

Nur Jazlan juga menarik perhatian kepada isu siapa yang mengetuai gerakan untuk menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) pada 2009 selepas Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya moden hilang majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

“Bila BN dapat 140 kerusi (hanya kurang lapan kerusi lagi untuk meraih majoriti dua pertiga 148 kerusi) pada 2008, siapa di belakang tabir desak Pak Lah letak jawatan Perdana Menteri?

“Tapi apabila Datuk Seri Najib (Tun Razak) mengetuai BN pada PRU ke-13 pada 2013 sekadar meraih 133 kerusi (lagi kurang 15 daripada 148 kerusi berbanding pada 2008), Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri tak cakap banyak masa itu. Mengapa?

“Jadi, dengan satu dua sahaja kerusi Parlimen yang menentukan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika ini, secara moralnya beliau (Muhyiddin) kena berundurlah jika diambil kira kedudukan Pak Lah pada 2008 yang dipaksa berundur dari jawatannya,” kata Nur Jazlan. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button