BeritaPolitik

Pakatan Harapan: Mukadimah penubuhan, punca asal kecacatan pentadbiran kini dan formula mudah untuk merangka kejayaan

BAHAGIAN PERTAMA : PAKATAN HARAPAN – MUKADIMAH PENUBUHAN

1. Tulisan serta pendapat yang saya seringkali lontarkan adalah pada lumrahnya berkisar kepada isu-isu yang melibatkan KEDAULATAN UNDANG-UNDANG ataupun RULE OF LAW, samada yang membabitkan pertikaian di MAHKAMAH mahupun tadbir urus KERAJAAN dan AGENSI-AGENSI AWAM negara, dan bukan secara khusus membabitkan isu POLITIK.

2. Ada kemungkinan tulisan saya di Siri : 1867 ini disalah erti oleh para pembaca sebagai tulisan POLITIK semata-mata, walaupun pada hakikatnya apa yang terkandung di sini masih lagi penting untuk dibincang di bawah topik KEDAULATAN UNDANG-UNDANG ataupun RULE OF LAW berkaitan dengan tadbir urus KERAJAAN yang telah dipilih secara demokrasi melalui suara Rakyat di PRU-14 pada 09.05.2018, iaitu lebih setahun setengah yang lalu.

3. Setiap Kerajaaan yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum mempunyai tempoh maksima tadbir urus KERAJAAN selama LIMA (5) TAHUN.

4. Namun, selepas daripada PRU-14 terutamanya sejak baru-baru ini, dan secara khususnya selepas PRK TG PIAI pada 16.11.2019, terdapat pelbagai desas-desus dan bisikan-bisikan songsang berhubung keperluan menggugurkkan KERAJAAN PAKATAN HARAPAN yang sedia ada melalui pelbagai rencana jahat dan usaha dayus “mencuri” Ahli Parlimen oleh pelbagai komplot sulit (tapi secara terang-terangan) bagi tujuan kononnya “menukarkan” KERAJAAN kini, sebelum daripada pengadaan PRU-15 yang masih ada tempoh maksima tiga tahun setengah lagi.

5. Komplot seperti itu bukan sahaja adalah berlawanan dengan SEMANGAT DEMOKRASI JATI, iaitu melalui Pilihan Raya Umum, malah pada hakikatnya tiada keadaan-keadaan khas sepertimana yang wujud pra PRU-14 semasa tadbir urus KERAJAAN BARISAN NASIONAL yang telah melumpuhkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini melalui pencabulan pelbagai peruntukan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN pada ketika itu, yang telah mewujudkan keperluan Rakyat melihat kepada cara keperlembagaan lain seperti DEKLARASI RAKYAT dan KUASA-KUASA RAJA di bawah PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN bagi tujuan membawa negara ke landasan KEDAULATAN UNDANG-UNDANG semula, pada ketika itu.

6. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, terdapat juga rungutan-rungutan dan ketidakpuasan wajar Rakyat berkaitan kekurangan sumbangan dan khidmat KERAJAAN PAKATAN HARAPAN pada masa kini, kepada kebajikan Rakyat secara umum, yang semestinya perlu secara serius ditangani dan diselesaikan sebaik mungkin oleh JEMAAH MENTERI, agar Rakyat tidak terpedaya melalui niat jahat dan songsang segelintir pemimpin politik yang cuba merencanakan pertukaran KERAJAAN secara berlawanan dengan sistem demokrasi yang dinyatakan di atas.

7. Secara ikhlas saya nyatakan, pada hakikatnya, sememangnya ada FORMULA MUDAH yang boleh dilaksanakan oleh JEMAAH MENTERI dan KERAJAAN PAKATAN HARAPAN untuk mengorak langkah positif ke arah kegemilangan sebagai satu Kerajaan yang berjaya memimpin negara untuk kepentingan Rakyat sebelum pun tamatnya tempoh maksima pra PRU-15 !

8. Sebelum kita mendalami apa yang saya katakan sebagai FORMULA MUDAH itu, kita haruslah fahami dan akui dengan jujur, akan MASALAH PRAKTIKAL sebenar yang menjadi batu penghalang kepada keberkesanan polisi dan program KERAJAAN yang tidak terzahir dengan jelas di mata Rakyat, malah apa yang diterampilkan adalah cuma “masalah” dan “kegagalan”.

KEADAAN PRA PRU-14 : MUQADDIMAH PENUBUHAN

9. Begitu juga untuk memahami dan mengakui secara jujur akan MASALAH PRAKTIKAL sebenar yang menjadi batu penghalang kepada keberkesanan KERAJAAN pada masa ini, kita harus bawa diri kita semula ke satu tempoh sebelum PRU-14, secara khusunya pada penghujung Disember 2017 sehingga 07.01.2018 apabila PAKATAN HARAPAN telah secara rasminya diumumkan sebagai PILIHAN KERAJAAN ALTERNATIF datangnya PRU-14 pada masa itu.

10. Tidak boleh dinafikan, tatkala itu, satu-satunya MASALAH UTAMA yang dihadapi oleh mana-mana “PAKATAN HARAPAN” adalah untuk kesemua parti gabungan, walaupun mempunyai IDEOLOGI dan FALSAFAH yang mungkin berbeza, untuk BERSEPAKAT dalam kata dan tindakan atas konsep “mahu jatuhkan NAJIB RAZAK dan BARISAN NASIONAL”, yakni TANPA fokus dan kata sepakat itu, sememangnya melalui IDEOLOGI dan FALSAFAH yang mungkin berbeza setiap satu parti gabungan itu TIDAK AKAN BERJAYA kalahkan kuasa dan jentera NAJIB RAZAK dan BARISAN NASIONAL !

11. Oleh itulah, satu-satunya IDEOLOGI dan FALSAFAH yang terpahat di dalam minda dan fikiran setiap pemimpin kesemua parti gabungan samada DAP, PKR, AMANAH mahupun BERSATU tatkala pengumuman 07.01.2018 (4 bulan dan 2 hari sebelum PRU-14) adalah :

“JATUHKAN NAJIB RAZAK & TUMBANGKAN BARISAN NASIONAL – ITU SAHAJA !!”

12. Tidak ada keperluan untuk mengkhususkan IDEOLOGI ataupun FALSAFAH peribadi parti masing-masing, sebab tanpa kejayaan FOKUS UTAMA itu, yang lain tidak ada makna praktikal langsung, maka dengan itu IDEOLOGI dan FALSAFAH peribadi parti masing-masing, telah secara BETUL tatkala itu, telah dibelakangkan !!

13. Hatta, untuk merealisasikan FOKUS UTAMA itu, satu-satunya MANIFESTO UTAMA dan TAWARAN SEBENAR yang boleh diberi oleh PAKATAN HARAPAN kepada Rakyat untuk PRU-14 adalah ketokohan dan kewibawaan TUN DR MAHATHIR sebagai PERDANA MENTERI KETUJUH (KE-7).

14. Walau apapun yang dilaungkan oleh beberapa pemimpin tertentu di dalam PAKATAN HARAPAN pada waktu ini, pada hakikatnya, kesemua mereka tahu dan yakin pada waktu itu bahawa tanpa keberadaan TUN DR MAHATHIR sebagai calon PERDANA MENTERI KETUJUH (KE-7) pra PRU-14 pada ketika itu, FOKUS UTAMA untuk jatuhkan NAJIB RAZAK dan tumbangkan BARISAN NASIONAL semestinya kekal sebagai ILUSI dan IMPIAN sahaja, pasca PRU-14 !!

15. Tidak dinafikan pra PRU-14, berapa ramaipun yang menyayangi dan menyanjugi TUN DR MAHATHIR, begitu juga ramainya yang membenci dan mencerca TUN DR MAHATHIR.

16. Namun, pada hakikatnya juga, hampir kesemua Rakyat sedar dan tahu satu-satunya INSAN yang boleh dipercayai dan diharapkan untuk membawa MALAYSIA keluar daripada belenggu kemusykilan dan kancah keruntuhan yang diakibatkan KERAJAAN BARISAN NASIONAL di bawah NAJIB RAZAK pada ketika itu, adalah TUN DR MAHATHIR !! Tiada yang lain, DIA sahaja !!

17. Atas dasar itulah, kesemua parti gabungan di dalam PAKATAN HARAPAN dengan sukarela pada ketika itu, telah dengan betul membelakangkan IDEOLOGI dan FALSAFAH peribadi masing-masing !!

BAHAGIAN KEDUA & KETIGA : PAKATAN HARAPAN – PUNCA ASAL KECACATAN PENTADBIRAN KINI & FORMULA MUDAH UNTUK MERANGKA KEJAYAAN !! — Akan menyusul dalam masa yang singkat, tidak berapa lama lagi !

 

Artikel dipetik dari Facebook Hanif Khatri

(Visited 376 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button