fbpx
PRK

Masalah infrastruktur di Sabah peninggalan UMNO, BN

MASALAH infrastruktur seperti kekurangan bekalan air, elektrik dan jalan raya tidak efisien dihadapi rakyat Sabah ketika ini hasil peninggalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sewaktu menerajui kerajaan terdahulu, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Peter Anthony.
Beliau berkata meskipun UMNO dan BN begitu lama memerintah di Sabah sebelum ini, parti itu gagal membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat negeri ini, berikutan banyak kemudahan asas yang menjadi keperluan penduduk tidak dibangunkan secara lebih mampan.

Mengambil contoh masalah air di Beaufort, Peter berkata, selepas mengambil peranan dalam aspek pembangunan infrastruktur negeri, beliau mendapati banyak tidak dilakukan kerajaan terdahulu dalam menambah baik perkhidmatan bekalan air sehingga rakyat di daerah itu masih menghadapi masalah sama sehingga kini.

Beliau, bagaimanapun berkata kerajaan negeri diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) terus komited menyelesaikan masalah bekalan air di Beaufort serta kawasan berhampirannya menerusi projek pembinaan Empangan Papar yang diluluskan pada 2018.

“Pembinaan empangan ini bagi memastikan masalah air dapat diatasi selain memberi kemudahan kepada penduduk Kimanis, Beaufort, Kinarut dan sekitar Kota Kinabalu mendapat bekalan air. Inilah usaha kita lakukan yang tidak pernah dibuat UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita selepas program bertemu rakyat di Kampung Gadong, di sini, hari ini.

Selain masalah air, Peter berkata kementeriannya turut komited membawa perubahan di daerah ini menerusi beberapa perancangan diluluskan sebelum ini termasuk menaik taraf jalan raya serta membina jambatan yang rosak untuk memudahkan perjalanan penduduk dari satu tempat ke tempat lain.


Beliau berkata pihaknya juga sedia maklum mengenai perkhidmatan kereta api di Sabah yang perlu dinaik taraf berikutan kualiti pengangkutan awam tersebut begitu daif dan perlu diperbaharui.

Kementerian turut bercadang mewujudkan rangkaian kereta api dari Kota Kinabalu-Kudat; Kudat-Tawau-Sandakan; selain jaringan kereta api dari Tenom-Halogilat-Beaufort-Kota Kinabalu, katanya.
— BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button