PolitikPRK

PRK Parlimen Pulai, Dun Simpang Jeram ditetapkan 9 September

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, Johor pada 9 September.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Ogos 2023 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 8 September 2023 (Jumaat).

“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen P.161 Pulai dan PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor akan dibuka bermula dari 3 Ogos 2023 (Khamis),” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bagi menjalankan proses PRK Parlimen P.161 Pulai, SPR telah melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh lima Penolong Pegawai Pengurus.

“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakilwakil calon yang bertanding,” katanya

Katanya lagi, bagi menjalankan proses PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor, SPR telah melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus.

Tambah beliau, SPR juga akan menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

“Bagi maksud PRK Parlimen P.161 Pulai, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

“Manakala bagi maksud PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar akan digunakan sebagai PPC dan PPRU,” jelas beliau.

Beliau berkata, seramai 2,692 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen P.161 Pulai manakala 47 pusat mengundi biasa yang mengandungi 294 tempat mengundi/saluran dan dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tiga tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi bagi PRK Parlimen P.161 Pulai adalah sebanyak 49 dengan 297 tempat mengundi/saluran,” katanya.

Katanya, seramai 678 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor manakala 14 pusat mengundi biasa yang mengandungi 68 tempat mengundi/saluran akan digunakan.

“Tiada pusat mengundi awal akan digunakan bagi maksud PRK Dewan Negeri N.13 Simpang Jeram, Johor.

“PRK Parlimen P.161 Pulai dianggarkan menggunakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta manakala PRK Dewan Negeri 5 N.13 Simpang Jeram, Johor dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

“Jumlah keseluruhan anggaran peruntukan bagi kedua-dua PRK ini adalah sebanyak RM6 juta,” katanya.

Pada PRK ini juga, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Timbalan Presiden Amanah, Datuk  Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.  – SM

BACA Siapa ganti Salahuddin Ayub?

BACA Perjalanan terakhir Salahuddin Ayub…

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button