Nasional

MAIWP peruntuk bantuan tambahan RM35 juta kepada mangsa banjir

Disalurkan melalui Program Sentuhan Kasih MAIWP – Misi Bantuan Banjir 2.0

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak RM35 juta menerusi dana zakat untuk membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Daud Bakar berkata, “Berdasarkan situasi terkini banjir yang melanda negara, 11 bantuan akan dilaksanakan menerusi Program Sentuhan Kasih MAIWP – Misi Bantuan Banjir 2.0.”

“Peruntukan tersebut melibatkan bantuan RM10 juta kepada mangsa banjir di luar Wilayah Persekutuan melibatkan Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terengganu.”

“Selain itu, terdapat juga bantuan perubatan secara klinik bergerak sebanyak RM3 juta, membina semula rumah (RM3.5 juta), membaik pulih rumah (RM7 juta), membaik pulih masjid dan surau (RM10 juta) serta, membaik pulih maahad tahfiz, sekolah rendah agama dan tadika (RM1 juta).”

Antara lain, bantuan peralatan sekolah dan institusi pengajian tinggi (RM1 juta), moratorium kenderaan (RM3 juta), membaik pulih kenderaan (RM3 juta), bantuan tunai one-off (RM2 juta) dan menyelenggara pendawaian elektrik (RM500,000)

Menurutnya lagi, bantuan ini akan digerakkan secepat mungkin seawal hari ini atau esok kerana masih ramai mangsa banjir yang menanti bantuan.

Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang tampil bersama-sama dalam membantu mangsa banjir di Wilayah Persekutuan. Semangat Keluarga Malaysia yang dipamerkan ini jelas menunjukkan kebersamaan semua Agensi Islam di seluruh Malaysia.

Kata Daud lagi “Kemampuan untuk menyediakan peruntukan yang besar oleh MAIWP adalah hasil dari komitmen para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan”

MAIWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP sehingga organisasi tersebut dapat melaksanakan amanah untuk membantu mereka yang amat memerlukan.

Beliau juga menyeru kepada umat Islam yang ingin membersihkan rezeki dengan menunaikan tanggungjawab berzakat melalui talian di www.zakat.com.my ataupun menerusi aplikasi MyZakat bagi membantu lebih ramai yang memerlukan.

Masyarakat juga disaran membantu MAIWP dengan melaporkan mereka yang sedang mengalami kesusahan kepada MAIWP menerusi aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf (MoJA) bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitumal dan MAIWP untuk turun padang memberi bantuan. – SM

 

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button