Nasional

Waris Sultan Sulu gagal sita 3 hartanah negara di Paris

BAILIF Perancis cuba menguatkuasakan arahan sita terhadap tiga hartanah dimiliki kerajaan Malaysia berkait kes penganugerahan diberikan mahkamah berjumlah USD15 bilion kepada waris Sultan Sulu, menurut peguam waris dan dokumen mahkamah dilihat Reuters.

Bailif dikatakan cuba mendapat akses terhadap hartanah itu semalam susulan arahan sitaan mahkamah dikeluarkan pada Disember.

Namun pegawai kerajaan Malaysia di pejabat kedutaan Paris mengusir mereka, kata peguam dan kerajaan Malaysia.

Waris sultan terakhir Sulu dari Filipina itu memohon penguatkuasaan penganugerahan USD14.9 bilion oleh mahkamah timbang tara Perancis, tahun lalu diserahkan kepada mereka bagi menyelesaikan pertikaian dengan kerajaan Malaysia berhubung perjanjian tanah ketika era-kolonial.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara itu selain menekankan proses terbabit sebagai tidak sah dan mendapatkan perintah penangguhan di Perancis.

Hartanah di Paris merupakan satu daripada tiga set aset Malaysia yang waris berkenaan secara terbuka mahu merampasnya.

Mereka berjaya mendapat arahan sitaan untuk unit di Luxembourg melibatkan firma minyak, Petronas, dan memohon kebenaran daripada mahkamah Belanda bagi menyita aset di negara itu.

Penganugerahan itu boleh dikuatkuasakan di peringkat antarabangsa terhadap aset dimiliki Malaysia, selain premis diplomatik, mengikut timbang tara Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun mendapat penangguhan, hakim Perancis pada Disember tahun lalu, membenarkan permohonan waris menyita tiga hartanah milik kerajaan Malaysia di Paris, sebagai penyelesaian hutang €2.3 juta yang didakwa terhutang kepada mereka, menurut dokumen mahkamah yang dikongsi peguam waris.

Cubaan rampasan di Paris tidak dilaporkan sebelum ini.

Malaysia diperintah melunaskan sejumlah bayaran kepada waris mengikut penganugerahan awal timbang tara kepada mereka di Sepanyol, yang mana tidak terikat dengan perintah penangguhan di Perancis, kata peguam itu.

Hakim Perancis juga mendapati hartanah terletak di 16th arrondissement, berhampiran Kedutaan Malaysia di Paris, tidak layak diletakkan bawah premis diplomatik, menurut dokumen mahkamah.

Tidak seperti kedutaan, ia tidak mempunyai papan tanda rasmi dan tidak tertakluk kepada pengecualian cukai Perancis, kata hakim.

Pada Isnin, bailif Perancis cuba menilai tiga hartanah dalam persediaan menjual aset berkenaan, kata peguam waris Sulu. Hasil jualan akan diserahkan kepada pihak waris.

Jurucakap undang-undang kerajaan Malaysia berkata, bailif hadir di Kedutaan Malaysia di Paris namun diusir, selain enggan mengulas lanjut. Kementerian Luar Malaysia dan kedutaannya di Paris juga enggan membuat sebarang komen.

Reuters tidak dapat menentusahkan sama ada cubaan bailif untuk masuk ke tiga hartanah itu susulan perintah sitaan.

Paul Cohen, peguam kepada waris Sulu, berkata arahan mahkamah “secara jelas” dalam arahan sitaan terhadap hartanah itu dan terpulang kepada mahkamah untuk menentukan langkah seterusnya.

“Memandangkan pegawai Malaysia menyekat kemasukan bailif, mereka secara terbuka menentang perintah mahkamah Perancis,” kata Cohen.

Bulan lalu, Bailif Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu terhadap dua unit Petronas. Syarikat itu berkata, tindakan waris Sulu tidak berasas dan pihak mereka berterusan mempertahankan kedudukannya dari sudut perundangan.

Malaysia sebelum ini berikrar akan mengambil segala bentuk pendekatan perundangan bagi mempertahankan asetnya di seluruh dunia.

Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian ditandatangani pada 1878 antara dua penjajah Eropah dan Sultan Sulu untuk menggunakan wilayahnya yang kini menjadi sebahagian Malaysia – perjanjian yang dihormati Malaysia sehingga 2013, untuk membayar sejumlah token setiap tahun kepada waris kesultanan.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur menghentikan pembayaran susulan pencerobohan berdarah pada 2013 dilakukan kumpulan penyokong bekas kesultanan untuk merampas semula tanah terbabit dari Malaysia.

Namun, waris sultan mendakwa mereka tidak terlibat dalam pencerobohan itu dan memohon proses timbang tara berhubung penggantungan pembayaran. – SM

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button