Nasional

Rayuan Lokman Adam ketepi prosiding komital didengar pada 13 Mei

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 13 Mei ini untuk mendengar rayuan bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Peguam Negara menerima surat daripada mahkamah bertarikh 2 April yang memaklumkan bahawa tarikh pendengaran telah dijadualkan semula kepada 13 Mei.

Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 31 Mac untuk mendengar rayuan Lokman.

Pada 14 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1MDB yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada 22 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah dengan melakukan perbuatan itu sebanyak dua kali pada 25 Sept, 2019.

Dalam permohonan itu, Thomas meminta mahkamah memenjarakan atau mendenda Lokman kerana melakukan perbuatan itu.

Mac lepas, Mahkamah Rayuan telah membenarkan Lokman menangguhkan sementara prosiding komitalnya di mahkamah ini sementara menunggu rayuan diputuskan oleh mahkamah berkenaan. – BERNAMA

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button