Nasional

Malaysia-Indonesia terus pupuk hubungan diplomatik, maritim

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia dan Indonesia mengambil maklum kemajuan dalam rundingan sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Ismail Sabri memberi jaminan Malaysia akan terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritime.

“Kita bersepakat agar usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media bersama Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo,  yang menerima lawatan sulung Ismail Sabri ke luar negara sebagai Perdana Menteri, di Jakarta, hari ini.

Selain daripada mematangkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, lawatan rasmi Ismail Sabri itu juga diharap dapat mengukuhkan lagi persefahaman dan kerjasama sedia ada, apatah lagi dalam suasana norma baharu pandemik Covid-19.

Semestinya sebagai negara jiran rapat yang mempunya kesamaan dalam nilai budaya dan perkongsian sejarah yang lama, Ismail Sabri berharap Malaysia dan Indonesia terus memupuk hubungan istimewa memandangkan tahun hadapan, akan meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Ismail Sabri juga berkata, koridor perjalanan yang dipersetujui juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi Covid-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR Covid-19.

“Inisiatif ini tentunya akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara dan pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat, adalah penting dalam mengimbangi antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi serta menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam,” ujar beliau.

Inisiatif yang diusahakan bersama Jokowi, kata Ismail Sabri lagi, diharap dapat dimuktamadkan dan mula dilaksanakan pada awal tahun depan.

Dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin negara, Ismail Sabri turut menyentuh tentang kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Beliau memberi jaminan kepada Jokowi bahawa kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap dipelihara.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa beliau dan Presiden Indonesia turut mengambil maklum kemajuan proses memuktamadkan perjanjian persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindunga Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Ia melibatkan Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia dan kedua-dua pemimpin percaya, isu-isu yang tertunggak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang telah dilanjutkan oleh pihak kerajaan kita sehingga penghujung tahun ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau pun bekerja secara sah di negara kita,” kata Ismail Sabri.

Menyentuh tentang kerjasama ekonomi dan potensi pelaburan Malaysia di Kalimantan Timur, Ismail Sabri berkata, Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik dengan jumlah perdagangan dua hala, USD15.67 bilion pada tahun lepas.

Beliau berkata, pada suku kedua tahun ini, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak USD12.53 bilion.

“Dan pelaburan Indonesia di Malaysia USD1.16 bilion dan Malaysia amat mengalu-alukan pelabur-pelabur dari Indonesia untuk terus datang melabur di Malaysia,” katanya, – SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button