NasionalNegeri

Majlis perkahwinan anak Nik Abduh kecoh gara-gara Lim Guan Eng

Permohonan ikut proses yang betu, tiada timbul isu salah guna kuasa

ORANG zaman sekarang amat jarang menggunakan peribahasa Melayu. Misalnya, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Itu gambaran yang tepat digunakan untuk mencerminkan atau menggambarkan majlis perkahwinan anak Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz baru-baru ini.

Kekecohan yang ditimbulkan oleh pihak DAP menuntut pencerahan supaya bukan semua perkara yang dilakukan cenderung ke arah salah guna kuasa termasuk meminta kerjasama daripada pihak berkenaan bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar.

Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) berhubung kemudahan untuk majlis perkahwinan anaknya.

Izani berkata, tidak timbul isu Nik Abduh menyalahgunakan kuasa dalam meminta bantuan kerana ia dilakukan mengikut proses yang betul.

Katanya lagi, berdasarkan proses biasa dan jika ada permohonan dibuat oleh mana-mana pihak, MPKB akan membuat penilaian sama ada boleh memenuhi permohonan itu atau sebaliknya. Setiap kelulusan perlu disertakan bayaran.

“Apabila ada permohonan, pihak MPKB boleh lulus dan boleh tidak lulus. Jika lulus, ada dengan bayaran dikenakan, itu prosedur biasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kebanyakan persiapan majlis perkahwinan anak Nik Abduh dibuat atas kapasiti individu termasuk khemah kenduri dan bukannya dari MPKB.

“Khemah kenduri semua di tempat sendiri YB Nik Abduh. Yang tidak cukup sahaja beliau mohon dengan MPKB,” jelasnya.

Bagaimanapun, Izani menjelaskan tidak semua permohonan diluluskan oleh Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin.

Beliau menjawab kritikan beberapa pihak berhubung isu itu termasuk Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Nik Abduh atas dakwaan salah guna kuasa kerana meminta “kerjasama” daripada pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, tular surat permohonan bertarikh 20 September lalu daripada Nik Abduh kepada MPKB untuk memohon kemudahan bagi majlis perkahwinan anaknya termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas.

Terbaharu menerusi Facebooknya, Nik Abduh berterima kasih kepada MPKB, Jabatan Kerja Raya dan polis yang menerima permohonan untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat dalam memastikan keselesaan pergerakan serta kelancaran lalu lintas, khususnya pada waktu puncak.

“Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat,” kata Nik Abduh. – SUMBER FMT – SM

(Visited 608 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button